PRK Kimanis hanya medan lonjak moral parti
KEMENANGAN mana-mana calon bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Jan ini, tidak mungkin mengubah status quo di Dewan Rakyat, namun kejayaan diperoleh akan menjadi lonjakan moral kepada parti berkenaan di persada politik nasional.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ramli Dollah berkata, PRK Kimanis mampu memberi kesan signifikan dari segi psikologi kerana ia berupaya meningkatkan moral setiap parti bertanding terutama jika berdepan kemungkinan PRK lain, mahupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau berkata PRK tersebut juga akan menjadi kayu pengukur sejauh mana sokongan rakyat terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) dan rakan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) yang kini, masing-masing menerajui pentadbiran negeri Sabah dan Malaysia sejak PRU14 pada Mei 2018.
“Kemenangan biasanya akan membawa kesan domino kepada pilihan raya lain. Terutamanya dalam kalangan pengundi atas pagar. Kemenangan satu parti akan mengubah persepsi terhadap mereka.
“Walaupun kemenangan pada PRK Kimanis tidak menukar status quo (di Parlimen), ia penting kepada psikologi parti dan pengundi. Lebih-lebih lagi dalam usaha menuju PRU15 kerana ia juga mampu memberi keyakinan kepada pengundi (terhadap parti) terutama pengundi atas pagar,” katanya kepada Bernama.
PRK Parlimen Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).
Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67 manakala BN diwakili Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Jan manakala hari pengundian awal 14 Jan ini.
Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut.
Mengenai calon, Ramli berkata Karim mempunyai kelebihan untuk memenangi PRK ini, lebih-lebih lagi beliau merupakan calon tempatan ‘orang Kimanis’ selain pernah menjadi wakil rakyat Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013.
Di samping itu, Ramli berkata kekuatan Karim turut didukung oleh partinya, Warisan yang mentadbir kerajaan Sabah, selain mendapat sokongan daripada PH.
“Sebagai parti pemerintah sama ada di peringkat negeri dan nasional, ini kekuatan kepada calon bertanding. Calon parti pemerintah mampu memberi beberapa perkara yang tidak dapat diberikan oleh parti pembangkang,” jelasnya.
Ramli, yang juga pensyarah kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS, bagaimanapun, berkata wujud cabaran besar kepada Karim terutama berdepan dengan beberapa isu berbangkit melibatkan kerajaan ketika ini terutama isu berkaitan janji di peringkat negeri dan nasional.
Isu tersebut akan menjadi tentangan hebat buat Karim selain menguji kemampuannya menangkis segala serangan daripada pihak pembangkang secara profesional dan ilmiah, katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata, senario politik Sabah adalah unik dan berbeza daripada situasi di Semenanjung.
Justeru, beliau berkata BN tidak boleh menggunakan faktor kemenangan dalam PRK Tanjung Piai pada November lalu, sebagai indikator bahawa sentimen pengundi yang sama akan dilihat pada PRK Kimanis.
“Di sini (Kimanis) masyarakatnya berbeza. Isunya juga berbeza seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu royalti minyak di samping isu kos sara hidup dan isu kenegerian amat penting untuk dilihat oleh BN dan Warisan,” katanya.
Mengulas signifikan PRK Kimanis kepada Warisan dan rakan sekutunya PH, Sivamurugan berkata, PRK ini sangat penting buat mereka terutamanya dalam memberi motivasi dan keyakinan dalam memasuki tahun baru 2020.
“PRK ini juga penting kerana ia bakal menguji kepimpinan Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal setelah hampir dua tahun memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
“Warisan mempunyai beberapa wakil parti itu di peringkat pusat, dan ini semestinya memberi kelebihan dari sudut jentera serta logistik. Shafie juga semestinya akan menggunakan sepenuhnya jentera parti kerana calon datang dari Warisan,” katanya.
Sivamurugan berkata selain perlu menangani sesuatu isu dengan berkesan, faktor calon dan keberkesanan jentera parti bakal menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana parti yang bertanding pada PRK itu.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN, bagi kerusi itu.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lalu memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.
Daftar pemilih bagi PRK Parlimen Kimanis merangkumi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara. – BERNAMA