Nasional

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah catat kemajuan fizikal 22 peratus

KEMENTERIAN Kerja Raya memaklumkan bahawa projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah setakat 31 Dis 2019 mencatat kemajuan fizikal 22 peratus secara keseluruhan bagi 12 pakej asal dan akan siap sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya Jun 2023.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini turut memberitahu bahawa tiga pakej tambahan yang baharu pula dijangka siap akhir 2023.

“Tempoh pelaksanaan 12 kontrak itu mengalami sedikit kelewatan berbanding tempoh siap asal (Jun 2022) disebabkan isu proses pengambilalihan balik tanah dan halangan di tapak pembinaan serta isu tempoh transisi atau pertukaran kaedah pelaksanaan projek daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada kontrak konvensional,” jelas kenyataan itu.

Ia menegaskan projek LPB Sabah tetap diteruskan pelaksanaannya walaupun setelah kerajaan menamatkan PDP pada 21 Sept tahun lepas.

Kementerian memaklumkan bahawa pelaksanaan projek itu kini telah ditukar kepada kaedah konvensional kontrak Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu di bawah seliaan JKR Sabah sebagai Penguasa Projek, dan melalui kaedah itu kerajaan akan memperoleh penjimatan kira-kira RM1.2 bilion berbanding kaedah asal PDP.

“Hasil penjimatan berkenaan antara lain membolehkan kerajaan meluluskan tiga pakej tambahan berbanding 12 pakej asal yang sedang dilaksanakan – iaitu melibatkan laluan dari persimpangan Beluran ke Telupid bernilai RM1 bilion – yang dijangka ditender pada Mac 2020,” menurut kenyataan itu.

Di samping komitmen untuk meneruskan 15 pakej projek LPB Sabah itu, kerajaan juga telah meluluskan projek membina Lebuhraya TransBorneo menghubungkan Sabah, Sarawak dan Kalimantan.

Fasa satu projek itu menghubungkan Kalabakan, Sabah dengan Simanggaris, Indonesia akan dilaksana tahun ini dengan kos RM600 juta.

Projek berkenaan diumumkan semasa sesi pembentangan Bajet 2020 pada Oktober 2019.

“Sebagaimana projek LPB di Sarawak, kos pelaksanaan projek LPB Sabah di samping projek jalan lain di kedua-dua negeri itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan pusat,” menurut kenyataan itu.

Ini termasuk projek Lebuhraya TransBorneo dan projek Sarawak Sabah Link Road yang telah diluluskan kerajaan, yang mana tiada tol akan dikenakan kepada pengguna.

“Pembinaan jalan-jalan utama tanpa tol di kedua-dua negeri itu adalah antara iltizam dan tekad kerajaan bagi memastikan pembangunan sosioekonomi lebih baik dapat dinikmati rakyat di Sabah dan Sarawak,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas dakwaan bahawa projek LPB Sabah terhenti dan tiada sebarang kemajuan. – BERNAMA

(Visited 439 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button