NasionalNegeriPendidikan

POLIMAS Jitra catat sejarah juara Debat dan Pidato Bahasa Melayu 2022

Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra buat julung kali menjuarai pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu 2022 yang diadakan di Politeknik Merlimau, Melaka baru-baru ini.

Pertandingan bagi merebut Piala Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ini disertai oleh 24 pasukan dari Politeknik dan Kolej Komuniti dari seluruh Malaysia.

Sekaligus kumpulan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta Piala Pusingan.

Pelajar POLIMAS yang terlibat terdiri dari Muhammad Asyraf Muhd Kahar, Muhammad Arif Idham Saiful Harizal, Muhammad Norsyafiz Ikmal Azri dan M. Shahmuganathan.

Mereka adalah pelajar dari pelbagai jurusan dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan, POLIMAS.

Selain itu, Muhammad Arif Idham pula meraih tempat kedua sebagai pendebat terbaik keseluruhan.

Pasukan POLIMAS juga berjaya meraih pendebat terbaik untuk lima pusingan dari lapan pusingan debat secara keseluruhan.

Sementara itu Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud, berkata, ini merupakan pencapaian terbaik pelajar POLIMAS dalam Pertandingan Debat Bahasa Melayu.

“Tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pelajar dan jurulatih, kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai,” katanya.

Kejayaan ini katanya, turut menunjuk pihak POLIMAS turut mementingkan kebolehan berdebat perlu ada seiring dengan pendidikan dalam TVET”.

Pensyarah pengiring, Mohd Nazimi Zaim Ismail berkata, kejayaan ini amat membanggakan dan sekalung tahniah kepada kumpulan debat kerana berjaya menaikkan imej POLIMAS dimata umum.

Katanya lagi, semua pensyarah yang menjadi jurulatih berpuas hati kerana usaha dan latihan yang telah diberikan telah membuahkan kejayaan.

Salah seorang juara pasukan debat, Muhammad Asyraf melahirkan rasa syukur atas kemenangan ini.

“Terima kasih kepada POLIMAS atas kepercayaan memilih dan menghantar kumpulan kami ke pertandingan ini,” katanya.

Pengarah Politeknik Merlimau, Mejar(K) Norizam Sekak, mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Malaysia telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia, Aidil Azhiim Shamsuddin. – SM

(Visited 697 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button