Politik

PRU15: Tiada kejutan senarai calon BN Melaka

Melaka adalah antara lima negeri selain Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Sabah telah menyerahkan senarai calon bagi empat kerusi Parlimen yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk dinilai lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘top five’ UMNO petang semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, semua calon UMNO yang disenaraikan adalah semuanya muka baharu yang akan bertanding di Parlimen Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Jasin dan Tangga Batu.

Menurutnya, penyandang kerusi Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah yang sudah bertanding sejak enam penggal lalu telah mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14.

Beliau berkata, semua senarai lima calon UMNO yang dikemukakan oleh setiap bahagian telah diserahkan secara total kepada pimpinan pusat untuk disaring dan dinilai sebelum salah satu nama yang terbaik akan dipilih sebagai calon.

“Perhubungan UMNO negeri kini hanya menunggu keputusan akhir daripada saringan dan penilaian yang dibuat pihak tertinggi parti.

“Semua calon adalah muka baharu yang belum pernah bertanding di peringkat Parlimen dan seorang penyandang iaitu Tok Mad (Ahmad Hamzah) tidak pertahan jawatan untuk PRU15,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional (BN) Melaka di sebuah hotel di sini malam tadi.

Utusan Malaysia difahamkan Ab. Rauf telah memberi taklimat dan mengemukakan senarai calon kepada top five UMNO dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Ibupejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) petang semalam.

Tiada kejutan daripada senarai yang dikemukakan luar daripada lima calon yang disenaraikan oleh Ketua Bahagian apabila dibentangkan oleh Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara.

Sebelum ini ada desas-desus menyebut ada beberapa ADUN turut menawarkan diri untuk bertanding di peringkat Parlimen Jasin dan Tangga Batu.

Ab. Rauf yang juga Pengerusi BN negeri berkata, dua kerusi bagi Parlimen Alor Gajah dan Kota Melaka akan terus menjadi tradisi ditandingi calon daripada MCA.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BN bersama parti komponen MCA dan MIC telah memperincikan lagi gerak kerja parti bagi menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Perbincangan kita lebih menjurus kepada persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya ini dan setakat ini kerjasama yang diberikan oleh setiap parti komponen nampaknya begitu baik,” ujarnya. – SM

(Visited 464 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button