Politik

PN bergelut beli, ugut untuk kekal berkuasa – Anwar

Perikatan Nasional (PN) bergelut untuk “membeli dan mengugut” agar cukup sokongan sebelum mengadakan sidang Parlimen, dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar selaku ketua pembangkang mendakwa PN kurang yakin dengan sokongan yang ada untuk membenarkan parlimen bersidang.

“Sekarang mereka hilang majoriti, maka bergelut untuk beli, upah dan ugut sedaya upaya mereka untuk mendapat dukungan sebelum boleh menimbang untuk mengadakan sidang,” dakwa Anwar menerusi video di laman rasmi Facebooknya, hari ini

Beliauberkata demikian ketika mengulas tindakan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengumumkan keluar PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas yang menyokong PN.

Berkenaan pihak yang lompat parti, Anwar mengimbas kembali kejadian sama selepas PRU 2008 dan menurutnya, ahli Parlimen yang berbuat demikian pada masa itu telah “ditendang rakyat” pada PRU seterusnya.

“Ini kerana pertimbangan mereka, peribadi mereka. Tekanan terhadap mereka, apakah (dari segi) cukai, apakah (ditawarkan) projek, atau apa-apa tekanan lain sehingga mereka tidak ada pilihan. (Tetapi mereka kata) kononnya untuk bela nasib rakyat,” katanya lagi.

Semalam, Sng dan Choong berkata mereka membuat keputusan menyokong PN demi kepentingan penyokong mereka.

Choong berkata dia memerlukan akses untuk berjumpa menteri dan ketua agensi kerajaan bagi menyelesaikan isu rakyat, manakala Sng berkata dia perlu memainkan peranan menyokong Muhyiddin dalam melakukan apa yang perlu untuk membantu rakyat pada masa sukar ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata pertimbangan utama mereka sepatutnya berkenaan keadilan (peruntukan) kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang.

“Itu patut tuntutan kita. Kalau benar kita cinta kepada rakyat dan mahu rakyat bangkit bersama, kita harus tuntut Parlimen mengadakan sidang dan kerajaan PN undur kerana mereka hilang majoriti,” katanya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson turut mengulang gesaan agar sidang Parlimen diadakan bagi membahaskan isu semasa yang dihadapi negara, termasuk peningkatan pengangguran dan kemerosotan pelaburan asing.

Berasarkan takwim asal, Parlimen sepatutnya bersidang pada 8 Mac ini. Namun ia dibatalkan susulan proklamasi darurat.

Dengan sokongan Sng dan Choong, PN kini mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan 111 ahli Parlimen.

Ia menggantikan dua ahli Parlimen Umno – Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) – yang menarik sokongan mereka sebelum ini.

Di pihak pembangkang, PH kini memiliki 89 ahli Parlimen. Baki ahli Parlimen pembangkang lain adalah daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Warisan, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko), bebas dan dua parti yang belum didaftarkan, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button