Nasional

PM rafak sembah tahniah sempena sambutan ulang tahun keputeraan Agong

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mewakili rakyat merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Berikut kenyataan penuh Perdana Menteri;

Patik mewakili seluruh rakyat jelata dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pada 7 Jun 2021 bersamaan 26 Syawal 1442H.

Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan KDYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.

Patik dan seluruh rakyat jelata juga berdoa mudah-mudahan KDYMM Tuanku dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta semua putera, puteri dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lingkungan dan rahmat-Nya jua, dilanjutkan usia zaman serta berada dalam keadaan sihat walafiat selama-lamanya.


Sebagaimana KDYMM Tuanku sedia maklum, negara masih lagi berada dalam tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang bertujuan melandaikan lengkung jangkitan COVID-19.

Insya-Allah, dengan segala usaha yang sedang dijalankan oleh Kerajaan KDYMM Tuanku dalam melawan pandemik COVID-19 ini akan memperoleh kejayaan jua atas limpah perkenan dan naungan KDYMM Tuanku.

Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku.

(Visited 43 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button