Nasional

PM lawat mangsa banjir di dua pusat pemindahan di Kota Tinggi

MESKIPUN sibuk dengan jadual yang  padat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa banjir di dua pusat pemindahan di sini hari ini.

Beliau yang tiba pada 12 tengah hari di Kolej Vokasional Kota Tinggi di sini, disambut Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut kelihatan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani.

Sejurus ketibaan, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi Farizal Ismail mengenai status banjir di daerah tersebut yang merupakan kawasan paling teruk terjejas banjir di Johor dengan 2,707 mangsa.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir turut berkesempatan bertanya mengenai kebajikan kira-kira 126 mangsa daripada 28 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan itu.

Sementara itu, kesedihan mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan  Laksamana, di sini, terubat dengan kehadiran Muhyiddin yang meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat mereka di sekolah tersebut.

Perdana menteri tiba di sekolah berkenaan yang menempatkan 156 orang daripada 35 keluarga dari kawasan Batu 25, Taman Aman serta Taman Mawai di sini, pada kira-kira 12.40 tengah hari.

Selain beramah mesra, Muhyiddin yang diiringi Hasni, Halimah serta Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama Rosleli Jahari, turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada kesemua mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan.

Setakat 12 tengah hari tadi, mangsa banjir di Johor bertambah sedikit  kepada 5,499 mangsa berbanding 5,485 pada 8 pagi tadi berikutan peningkatan mangsa di Mersing. – BERNAMA

(Visited 258 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button