NasionalParlimen

PM Ismail Sabri buat pengumuman penting pukul 3 petang ini

SATU perutusan khas akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkaitan dengan pembubaran Parlimen.

Memang inilah yang ditunggu-tunggu oleh semua pemimpin parti-parti politik yang ada dalam kalangan mereka, tidak sabar-sabar mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Perdana Menteri melalui media sosial rasmi beliau memaklumkan pengumuman itu akan diadakan di Kompleks Seri Perdana dekat Putrajaya, pukul 3 petang ini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberi petunjuk akan ada pengumuman penting dibuat kerajaan hari ini yang berkemungkinan berkaitan pembubaran Parlimen.

Namun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memaklumkan pihaknya belum menerima apa-apa makluman berkaitan pembubaran Parlimen.

Sehubungan itu katanya, sesi Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen ke-14 akan diteruskan seperti dijadualkan esok, yang antara lain akan membahaskan Bajet 2023.

Memetik laporan Berita Harian, bercakap pada sidang media, beliau juga mengesahkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sudah pun mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Persidangan Dewan Rakyat esok adalah hari pertama bagi sesi pembahasan Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dipercayai untuk mendapat perkenan baginda berhubung pembubaran Parlimen.

Memetik laporan New Straits Times pula, kunjungan itu bagaimanapun tidak diketahui media yang biasanya berkumpul di luar pintu utama istana.

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke London, malam tadi bagi mengadakan lawatan khas ke United Kingdom, mulai hari ini hingga 16 Oktober ini.

Turut kelihatan mengiringi keberangkatan Yang di-Pertuan Agong di lapangan terbang ialah Azhar yang mana kehadiran beliau dikaitkan dengan desas-desus pembubaran Parlimen, hari ini. – SM

(Visited 287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button