Rencah Hidup

Selamat Ulang Tahun Kelahiran SUARA MERDEKA

MELAKAR sejarah sendiri, portal berita SUARA MERDEKA menyimpan kisah sedih di sebalik penubuhan yang ideanya dicernakan oleh dua orang hebat pada pandangan mata kami, keluarga kecil SUARA MERDEKA. Salah seorang daripadanya ialah Ketua Pengarang SUARA MERDEKA (SM) Haji Borhan Abu Samah.

Hari ini 10 Oktober 2022 merupakan tarikh genapnya tiga tahun usia SM berada di barisan portal-portal berita lain yang telah ‘establish’ dan diwujudkan terlebih dahulu.

FACEBOOK Suara Merdeka dan ada juga di platform media sosial lain.

Catatan dibawah lahir daripada KP SM, Haji Bob. Ya, coretan peribadi beliau di Facebook akaun milik beliau. Akan tetapi kami kongsikan di sini untuk tatapan pembaca SM semua. Terima kasih menyokong SM.

Hari ini (9 Oktober 2022) genap tiga tahun Utusan Melayu Malaysia Berhad dikuburkan. Dan Esok juga genap tiga tahun portal berita Suara Merdeka ditubuhkan.

Bermodal air liur dan air mata, kami 10 orang bertekad bangkit selepas jatuh tertiarap. Ini sahaja sahabat yang sanggup bekerja tanpa gaji. Kaedahnya mudah sahaja. Bila ada rezeki, siapa paling terdesak akan menerima bahagian yang lebih.


Kadangkala rezeki kami kongsi dengan rakan bukan dari Suara Merdeka, kerana simpati dengan cabaran hidup yang dihadapi apabila hilang punca pendapatan. Kami berkongsi rezeki dan alhamdulillah tidak sedikit rakan yang membantu.

Apabila Utusan Malaysia dibuka kembali aku bersyukur seorang demi seorang rakan-rakan dari Suara Merdeka diambil kembali. Tempat mereka kami ganti dengan rakan-rakan lain. Terima kasih kepada rakan-rakan yang sempat menyumbang tenaga kepada Suara Merdeka dan aku doakan mereka berjaya di tempat kerja yang baharu.

Aku juga sempat kembali bertugas dengan Utusan Malaysia. Namun akhirnya aku memutuskan untuk kembali ke Suara Merdeka.

Ketua Pengarang Utusan, Saudara Azlan enggan menerima peletakkan jawatan aku dan mahu aku berfikir semula. Namun kerana tekadnya aku, dia melepaskan lebih awal.

Hakikatnya aku berasa sedih apabila meninggalkan rakan-rakan di Suara Merdeka yang masih terumbang-ambing, sedangkan aku di tempat yang selesa dan selamat di Utusan.

Utusan berada di tangan orang yang cukup berwibawa. Untuk memakai dua topi iaitu bertugas di Utusan, pada masa yang sama membantu Suara Merdeka, aku rasa berdosa ia ibarat mengkhianati syarikat yang menggajiku.

Kepada para sahabat yang terus membantu Suara Merdeka kami hanya mampu berdoa agar dianugerahkan rezeki yang berlimpah-ruah serta dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.
Hanya Allah sahaja dapat membalas segalanya.

Aku juga mendoakan rakan-rakan di Utusan dan Kosmo terus maju jaya. – SM

 

(Visited 58 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button