Nasional

PM dirayu selamatkan industri pengajuran acara dengan 20,000 pekerja

20,000 pekerja dijangka tidak diketahui nasib mereka apabila industri pengajuran acara mendakwa langsung tidak dapat beroperasi sejak negara dilanda pandemik.

Industri tersebut didakwa lumpuh sepenuhnya sehingga tidak dapat menjana pendapatan bagi menampung kos operasi.

Ini kerana, kerajaan memperketatkan undang-undang bagi aktiviti keramaian dalam mencegah penularan wabak Koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, pengusaha-pengusaha dalam industri itu merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memberi kelonggaran khas.

Rayuan tersebut termasuklah pemberian bantuan seperti geran dan moratorium bank komersial bagi industri berkenaan.

“Buat masa ini, syarikat atau peniaga kecil di industri ini mengalami kerugian 100 peratus dan tidak dapat menampung kos operasi syarikat.

“Impak PKPB ini berlaku secara langsung dan berantai kepada para pembekal kami dan seterusnya kepada pekerja mereka.”

Demikian kata Presiden Persatuan Perkhidmatan Acara India Malaysia (MIAE), K. Sivakumar, seperti dipetik laporan portal Malaysiakini hari ini.

Dalam laporan sama beliau juga menggesa supaya penganjuran acara keramaian dibenarkan dengan pengendalian khas yang ketat serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditentukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ini kerana, Sivakumar mempersoalkan pembukaan tempat tumpuan awam seperti pasar malam dan pusat beli-belah dibenarkan kerajaan.

Beliau mendakwa, pusat beli-belah antara faktor kemunculan kluster dalam penularan wabak Covid-19 dan ia dilihat terus beroperasi walaupun negara sedang berhadapa gelombang ketiga.

K. SIVAKUMAR

“Kita boleh nampak pasar malam masih dibenarkan beroperasi. Pusat beli-belah yang merupakan salah satu kluster penting dalam penularan wabak Covid-19 dalam gelombang ketiga juga boleh terus beroperasi.

“Tetapi, dewan dan tempat-tempat lain menganjurkan acara awam dan persendirian, ditutup.

“Justeru kami merayu kerajaan mengambil serius perkara ini dan memberi kelonggaran kepada sektor perkhidmatan acara untuk beroperasi dengan SOP yang ketat seperti ditentukan KKM,” rayunya.

Susulan itu, beliau memaklumkan MIAE mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mewakili 500 syarikat dalam industri penganjuran acara.

Cadangan tersebut seperti:

  1. Skim subsidi upah yang disesuaikan
  2. Meminta kerajaan memberikan subsidi sewa dewan perkahwinan sebanyak 30 peratus daripada sewa asal kepada para peniaga yang menyewa premis berkenaan dengan tujuan mengekalkan dewan perkahwinan selama enam bulan.
  3. Memberi bantuan geran sebanyak RM5,000 melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan(GKP) secara one off kepada peniaga-peniaga kecil dalam industri perkahwinan.
  4. Memberikan diskaun untuk levi pekerja asing 2021 terutamanya pekerja berkemahiran tinggi.
  5. Skim Pinjaman oleh institusi kewangan yang disokong oleh pihak kerajaan dengan faedah rendah atau sebagainya.
  6. Pembayaran KWSP/Perkeso pihak majikan/syarikat dihentikan terus secara bersasar bagi mengurangkan belanja akibat ketiadaan kerja/kontrak pengacaraan.
  7. Pertimbangan moratorium bank komersial untuk industri acara yang terjejas akibat situasi semasa. Ini adalah kerana kebanyakan majikan atau syarikat perlu menjelaskan hutang semasa termasuk pinjaman lot kedai, kenderaan perniagaan dan lain-lain.
T. INDRAN

Dalam pada itu, seorang pengusaha Dewan Shenga, T. Indran memberitahu, kerajaan perlu seimbangkan kebenaran terhadap pusat ibadat dan tempat umum.

Menurutnya, jika tempat ibadat dibenarkan dengan kehadiran jumlah orang tertentu, dewan dan tempat penganjuran acara juga wajar diberi kebenaran sedemikian.

Jika kebenaran sedemikian diberikan, bermakna risiko penularan yang dapat diatasi adalah sama jika peraturan dan SOP sama dipatuhi.

“Di tempat-tempat ibadat masih membenarkan 30 orang untuk berkumpul. Tapi, di dewan nak buat acara dengan 30 orang tidak dibenarkan.

“Kami nak kerajaan mempertimbangkan semula keputusan ini agar memberi nafas kepada perniagaan kami,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button