EkonomiNegeri

PKP dua kali, industri pelancongan Banda Hilir ‘mati’!

BANDA Hilir yang sebelum ini penuh dengan warna-warni dan riuh-rendah dengan kehadiran pelancong dari dalam
dan luar negeri kini berubah sepi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu.

Kawasan yang popular dalam kalangan pelancong itu berubah menjadi ‘pekan mati’ tanpa kehadiran pengunjung yang sering memeriahkan kawasan pelancongan itu terutama pada setiap hujung minggu.

Industri pelancongan di Melaka sebelum ini diibaratkan seperti ‘mati hidup semula’ selepas berakhirnya pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lepas tetapi dikejutkan dengan pelaksanaan PKP 2.0 yang diumumkan kerajaan pada 11 Januari lalu.

Bagaimanapun sebahagian peniaga kecil tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menyara keluarga dan menampung perbelanjaan
harian meskipun ketiadaan pengunjung dari luar yang tidak boleh merentas negeri.

Berdasarkan laporan tinjauan BERNAMA hari ini, Muhammad Kassim Abdullah, 38, yang berniaga cendol berdekatan Jam Besar di Banda Hilir bersyukur kerana masih mampu bertahan meskipun
ketiadaan pelancong dan pelanggan tempatan hanya boleh membungkus cendol atau membelinya menggunakan khidmat ‘Grab Food’ dan ‘Food Panda’.


“Kita berdoa kalau wabak ini menurun, kerajaan boleh pertimbangkan supaya PKP Pemulihan atau PKP Bersyarat dilaksanakan.

“Orang boleh datang makan duduk satu meja dua orang dan patuh prosedur operasi standard (SOP) dan jaga penjarakan fizikal,” katanya.

Pengayuh beca, Mohd. Shah Abdullah, 36, dari Taman Seri Duyong berkata, semenjak PKP 2.0 dilaksanakan semua operasi beca ditutup berikutan ketiadaan pelancong.

Bagaimanapun keadaan itu tidak melunturkan semangatnya dan bagi meneruskan kelangsungan hidup, Mohd. Shah mengambil upah menghantar makanan dan menghias beca rakan-rakannya.

“Jadilah, lepaslah duit belanja sementara PKP ni sebab saya ambil upah menghias beca kawan-kawan di bengkel saya.

“Ada yang minta buat beca kosong tanpa hiasan dan ada yang minta buat hiasan penuh lengkap dengan pembesar suara, bunga dan patung bertemakan watak-watak animasi.

“PKP ni kita kena ikut seruan kerajaan, banyakkan bersabar kerana bukan kita sahaja yang terkesan, satu dunia terkesan,” katanya yang sudah 10 tahun mencari rezeki sebagai penarik beca.

Senario di Zoo Melaka sepanjang musim PKP ini amat berbeza di mana petugas zoo yang juga penjaga haiwan mengambil kesempatan dan inisiatif dengan ketiadaan pengunjung untuk melakukan kerja-kerja pembersihan, baik pulih dan naiktaraf pusat konservasi berkenaan.

Pengurus Operasi Zoo Melaka yang juga Ketua Unit Zoologi Zoo Melaka dan Taman Burung Melaka, Azman Ghazali berkata, penjaga haiwan mengambil kesempatan sepanjang tempoh PKP ini untuk berinteraksi bersama haiwan di bawah jagaan mereka.

“Musim PKP ini juga bagus untuk haiwan-haiwan mendapat ketenangan di mana Harimau Kumbang juga mula mengawan. Itu antara kelebihan apabila zoo ditutup untuk sementara waktu.

“Kekurangannya pula apabila tiada pengunjung yang hadir, penjualan tiket tidak berlaku yang mana ia merupakan sumber terbesar bagi kami untuk mendapatkan dana,” katanya. – BERNAMA

(Visited 76 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button