Rencana
Trending

[RENCANA] PKP: Cabaran guru mengajar di alam maya

Oleh: Fiknormi

18 Mac 2020 merupakan satu tarikh penting bagi negara kerana pada tarikh tersebut kerajaan telah mula menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh yang demikian, pelbagai industri dan sistem dalam negara telah terkesan.

Salah satu daripada sistem yang terkesan adalah sistem pendidikan negara di mana ke semua institusi pendidikan awam mahupun swasta diarahkan untuk ditutup sehingga tamat tempoh PKP.

Tidak dinafikan sistem pendidikan negara belum lagi mencapai status negara maju yang mampu menjalankan pendidikan secara atas talian dengan berkesan.

Malahan, capaian internet dan kemudahan-kemudahan di sekolah-sekolah awam juga terlalu banyak yang boleh dipersoalkan.

Namun, dengan berjalannya PKP, ternyata cabaran yang dihadapi oleh warga pendidik sangat tinggi.

Komitmen warga pendidik seharusnya tidak dipersoalkan. Ada dalam kalangan mereka yang sudah mula mengorak langkah sebelum tamat tempoh cuti persekolahan penggal pertama lagi setelah PKP diumumkan.

GURU
ANTARA kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh para guru dan murid ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. – Gambar FB NUTP

Ramai guru-guru mula mengambil langkah proaktif dengan membina akaun aplikasi berkaitan pendidikan secara atas talian seperti Google Classroom (GC), Zoom, Kahoot, Youtube dan sebagainya serta memberi panduan kepada anak-anak murid untuk menyertai aplikasi yang disebut di atas.

Sesungguhnya pembelajaran jarak jauh ini lebih kurang samalah seperti hubungan jarak jauh (PJJ). Sangat mencabar.

Antara cabarannya adalah:

1. Mutakhir ini tular dalam media sosial penggunaan aplikasi Zoom adalah tidak selamat.

Guru-guru perlu beralih ke alternatif lain seperti Google Hangout atau Meet.

Walaupun terdapat banyak aplikasi konferens video yang percuma, namun tidak banyak yang menawarkan perjumpaan melebihi 25 orang pada satu masa.

Jangan terkejut jika anda terdengar guru-guru ini menggunakan duit Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang mereka terima untuk membeli lesen Gsuite untuk menggunakan Google Meet.

Untuk rekod, secara kasar purata murid-murid di dalam kelas adalah seramai 25-35 orang.

2. Cabaran kedua adalah kekangan kemudahan laptop atau telefon pintar dalam kalangan murid terutamanya murid luar bandar.

Murid-murid dan ibubapa yang berkemampuan perlu bersyukur kerana mempunyai akses Internet dan kemudahan laptop serta telefon pintar di rumah.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan tidak semua orang bertuah seperti anda.

GURU
ANTARA kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh para guru dan murid ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. – Gambar FB NUTP

3. Seterusnya, tidak membawa kelengkapan pembelajaran ke kampung halaman.

Umum mengetahui bahawa, PKP telah diumumkan oleh kerajaan semasa cuti penggal pertama persekolahan pada bulan Mac lalu.

Oleh demikian, terdapat murid dan guru yang tidak membawa kelengkapan pembelajaran pulang ke kampung halaman.

Hal ini menyebabkan kesulitan kepada kedua-dua belah pihak. Bayangkan, mengajar subjek yang menggunakan simbol2 tertentu seperti Matematik Tambahan melalui telefon pintar.

Namun, guru-guru tetap mencari jalan kreatif mengatasi masalah ini.

Itu adalah beberapa sahaja isu utama yang dijelaskan. Isu-isu tersebut tidak termasuk isu-isu ‘cliche’ yang selalu diperkatakan seperti tangungjawab di rumah sebagai suami, isteri, ibubapa, dan anak-anak.

[BACA] Sesi pembelajaran melalui TV pendidikan mulai minggu depan – Suara Merdeka

Jika selama ini anda tidak pernah bawa pulang kerja ke rumah, segelintir guru sudah ibarat rutin membawa pulang kerja ke rumah. Disebabkan itu, guru-guru faham cabaran anda bekerja di rumah.

Rakyat Malaysia tidak perlu terlalu khuatir akan integriti guru-guru sepanjang PKP kerana kelas secara maya masih berjalan.

Hal ini kerana punca kuasa daripada kementerian telah menetapkan pembelajaran wajib diteruskan secara maya dan ringkasan catatan rekod pengajaran harian perlu disiapkan seperti biasa.

Ini bermaksud tiada satu peratus guru pun yang terkecuali daripada arahan ini.

Rata-rata guru bersyukur dan menghargai peranan ibubapa di rumah dalam menyokong pembelajaran secara maya walaupun masih terdapat kekurangan.

Kedua-dua pihak dilihat saling membantu mengatasi kekurangan tersebut dan kebanyakan ibubapa juga menghargai usaha warga pendidik meneruskan sesi pembelajaran dari rumah.

Namun, sejauh mana keberkesanan pelajaran secara maya dari rumah? Sudah pasti keberkesanannya tidaklah seperti mengajar secara ‘face-to-face’.

Oleh sebab itu, kerjasama antara guru dan ibubapa amat penting bagi memaksimumkan keberkesanan pembelajaran secara maya ini.

Tuntasnya, tiada keperluan untuk dibandingkan pekerjaan mana yang lebih baik, mudah dan bagus.

Semua rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab dan peranan terhadap pembangunan negara.

Berhentilah daripada mempersoalkan mengapa seseorang guru itu tidak berhenti kerja jika kerja sebagai guru itu terlalu menyusahkan kerana semua orang mempunyai sebab dan cara masing-masing untuk terus berkhidmat.

GURU
ANTARA kaedah pengajaran dan pembelajaran oleh para guru dan murid ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. – Gambar FB NUTP
[BACA] Tangguh sesi persekolahan hingga Covid-19 pulih 100% — Suara Merdeka

Jika dirasakan pekerjaan sebagai cikgu itu ‘best’, mengapa tidak dikemukakan sahaja permohonan untuk bekerja sebagai guru?

Guru-guru pasti akan meraikan kehadiran pendidik baharu ke bidang pendidikan, cuma persoalannya adalah dari segi kelayakan.

Percayalah, semua guru memang lantang bersuara mengeluarkan kata-kata untuk berkongsi ilmu, buah fikiran dan motivasi kepada anak-anak murid dan ibubapa. Itu memang satu keperluan tugas hakiki mereka.

Namun, 99 peratus daripada mereka memilih untuk tidak menunjukkan kelantangan dalam media sosial kerana menghormati etika perguruan.

Mungkin seperti kata sesetengah netizen bahawa ada satu peratus sahaja guru yang lantang dalam media sosial, namun tidak mustahil bilangan sat peratus itu akan meningkat jika provokasi mempersoalkan integriti, etika dan keikhlasan mereka diteruskan.

  • Terima kasih kepada frontliners, kerana berjuang mempertaruhkan nyawa melindungi kami.
  • Terima kasih kepada 99 peratus guru-guru, kerana terus berkhidmat dari rumah seperti biasa.
  • Terima kasih kepada ibubapa yang menyokong pembelajaran anak-anak,
  • Terima kasih anak-anak murid yang memberi komitmen,
  • Terima kasih rakyat Malaysia,
  • Terima kasih kepada kamu.

Fiknormi
IG: Fiknormi

*Penafian
Artikel adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Suara Merdeka atau mana-mana organisasi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button