Politik

PH sembah memorandum kepada Agong buka Parlimen

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan akan mempersembahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi menyokong pembukaan semula Parlimen.

Menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, memorandum berkenaan akan turut ditandatangani oleh semua ahli Parlimen yang menyokong supaya Parlimen dibuka semula.

“Untuk tujuan ini, satu memorandum yang ditandatangani oleh semua Ahli Parlimen yang menyokong pembukaan semula Parlimen akan dipersembah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

“Senafas menjunjung titah nasihat Duli Tuanku bahawasanya Darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang,” katanya

Keputusan menghantar memorandum itu dibuat dalam Pemukiman Pakatan Harapan yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan.


Menurutnya, pemukiman itu memberi semangat baru kepada pucuk pimpinan PH untuk bangkit semula dengan semangat perpaduan dan iltizam bagi meneruskan usaha mereformasikan negara.

“Kami akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan “Khemah Besar” untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

“Ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” katanya.

Selain itu pemukiman itu turut menegaskan kesediaan Pakatan Harapan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat

Rundingan dan kerjasama itu bagaimanapun tidak akan melibatkan pemimpin yang mereka gelar sebagai kleptokrat.-SM

(Visited 103 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button