Politik

UMNO mesti selamat daripada ‘Kluster Bermasalah’ – Tun Faisal

KEPIMPINAN UMNO yang diterajui Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dianggap sebagai ‘Kluster Bermasalah’ dan perlu ditukar dengan segera.

Tanggapan itu diberikan kepada kepimpinan UMNO yang turut disifatkan sekumpulan pihak menentang mereka juga sebagai satu ‘kartel’

Justeru, UMNO dikatakan perlu diselamatkan menerusi pemilihan yang digesa untuk diadakan dengan segera supaya kepimpinan baharu ditampilkan.

Gesaan itu dibuat selepas rakaman audio perbualan mirip Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp.

“UMNO mesti diselamatkan daripada Kluster Bermasalah.”


Demikian tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, dalam satu kenyataan hari ini yang turut menyatakan sokongan kepada cadangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, pemilihan mesti diadakan dengan segera bagi menyelamatkan UMNO dan peranan itu mesti dilakukan oleh pihak yang masih sayangkan parti Melayu terbesar itu.

“Kenyataan YB KJ (Khairy Jamaluddin) saya sokong sepenuhnya.

“Walaupun saya tidak dapat bertanding kerana keputusan Lembaga Disiplin dibuat tanpa pembuktian dan fakta, serta pengesahan Mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dibuat secara melanggar peraturan dan prosedur.

“Tidak mengapa saya terkorban, yang penting UMNO perlu diperkasa semula dan tidak diheret sama ke dalam masalah individu-individu tertentu,” katanya.

Malah, Tun Faisal juga dilihat berterusan mendakwa rakaman audio perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar seolah-olah tulen dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berbohong ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 lalu.

“DS Zahid (Ahmad Zahid) berbohong dan mengelirukan Perwakilan PAU 2020.

“Sebelum ini DS Zahid telah didapati terlibat memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim melalui sepucuk surat sokongan.

“Kali ini, tular pula audio yang memberi gambaran wujud hubungan Zahid-Anwar serta naratif, jurucakap PAU2020 dan keputusan MKT telah diatur sebegitu rupa,” selarnya.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu menggesa Ahmad Zahid menafikan dakwaan rakaman audio perbualan itu adalah dirinya.

Katanya, tindakan itu bertujuan untuk menghentikan polemik dan perbuatan tuduh menuduh melibatkan Ketua Pembangkang yang juga musuh UMNO sejak 1997. – SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button