Politik

PH Negeri Sembilan tiada masalah kerjasama dengan BN untuk PRN

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gabungan parti itu tidak ada masalah untuk berkolaborasi dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan bagaimanapun berkata, setakat ini masih belum ada lagi sebarang pertemuan untuk membincangkan perkara itu dengan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat Hassan).

Jelas Aminuddin, soal kerjasama hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti masing-masing di peringkat PH dan akan ditentukan oleh Majlis Presiden PH.

“Di peringkat negeri, kami tidak ada kuasa untuk menentukan hala tujunya dan ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH,” ujar beliau.

Kata Aminuddin lagi, apabila berbincang nanti, perkara ini diharap dapat dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.

“Bagi saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan BN jika itu arahan dan kami akan ikut.

“Saya belum berjumpa dengan Tok Mat walaupun ada berjumpa beliau secara tidak rasmi seperti di Parlimen dan majlis-majlis tetapi untuk rundingan Kerjasama ini, tidak boleh berjumpa secara tidak rasmi. Ia mesti diputuskan di peringkat kepimpinan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan mangsa banjir Pantai Timur.

Mengulas dakwaan berlaku kesukaran mengadakan rundingan antara dua gabungan itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR menyifatkannya sebagai pandangan sesetengah pihak sahaja.

“Itu pandangan mereka sahaja. Mungkin pada zaman mereka, itu yang berlaku. Kita tidak tahu. Tetapi dalam keadaan sekarang, apa juga keputusan itu harus diraikan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Majlis Presiden itu nanti adalah penting.

“Jika tiada kerjasama kami juga akur dan saya rasa penyokong di peringkat akar umbi juga akan terima.

“Pastinya mereka akan ikut apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan. Itu di peringkat PH, di pihak BN pula, saya tidak tahu,” ujar beliau.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dipetik sebagai berkata, tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara gabungan PH dan BN bagi menghadapi PRN akan datang.

Tegas Anthony, parti-parti terlibat masih mempunyai tempoh yang panjang  untuk berunding dan apabila tiba masa yang sesuai, sudah pasti keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button