Hiburan

“No Komen, Sayang”: Ziana Zain enggan ulas isu dipanggil SPRM

PENYANYI popular, Ziana Zain, baru-baru ini menjadi tumpuan media selepas dikaitkan dengan sebuah syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Operasi Sky. Menurut laporan media, Ziana dikatakan bakal dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu dalam siasatan berhubung peranannya sebagai duta syarikat berkenaan.

Ketika ditemui oleh OhBulan!, Ziana atau nama penuhnya Siti Roziana Zain, 57, tampil tenang dan enggan memberi sebarang komen mengenai isu tersebut.

“No komen, sayang. Kak Gee hanya menyanyi je, sayang,” ujar Ziana dengan mesra, sambil tersenyum.

Perbualan tersebut berlaku ketika beliau hadir pada konsert separuh akhir Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) yang berlangsung di Studio NTV7, Glenmarie pada Ahad. Pada hari yang sama, media melaporkan bahawa SPRM bakal memanggil beberapa selebriti yang dikatakan mempunyai hubungan dengan syarikat perunding kewangan yang kini sedang disiasat dalam Ops Sky.

Sumber yang rapat dengan siasatan mendedahkan bahawa selebriti-selebriti yang terlibat sebagai duta syarikat tersebut dilaporkan menerima bayaran yang lumayan, antara RM150,000 hingga RM400,000.

Siasatan ini dijalankan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu, termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank, oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam satu operasi besar yang dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Lebih mengejutkan lagi, siasatan SPRM mendapati bahawa sindiket yang terbabit juga melabur sejumlah besar wang dengan menaja program hiburan yang melibatkan selebriti-selebriti terkenal.

Selain itu, SPRM turut mendedahkan bahawa sindiket ini telah mengatur pinjaman bank berjumlah RM700 juta, yang kemudiannya dimanipulasi untuk meraih sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan oleh bank-bank terlibat.

Sejak tiga minggu lalu, SPRM berjaya menumpaskan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank dari beberapa institusi kewangan utama.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu yang bernilai lebih RM22 juta telah dibekukan oleh SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap sindiket pengubahan wang haram yang dipercayai didalangi oleh syarikat perunding kewangan terbabit.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button