
Luahan hati OKU, dipukul teruk selepas kemalangan disimbah Mi Goreng
KEJADIAN yang menimpa seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kemaman baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam bukan hanya pada dirinya, tetapi juga kepada keluarganya. Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang tular selepas dipukul dan diheret di pasar pagi, kini menceritakan pengalaman pahit yang dihadapinya.
Memetik dari dari Harian Metro, peristiwa tragis itu berlaku selepas motosikal yang ditunggangi Al Faizan terlanggar sebuah gerai makanan. Dia mendakwa motosikalnya telah ditendang seseorang dari belakang, menyebabkan dia kehilangan kawalan dan terjatuh.
“Saya sedang meninjau peniaga di pasar pagi itu dan ketika saya pusing kali ketiga, motosikal saya ditendang dari belakang. Saya jatuh dan sebaik sahaja itu, saya dipukul dengan teruk,” ujar Al Faizan.
Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah tindakan segelintir individu yang memukulnya secara beramai-ramai selepas dia terjatuh, malah menyimbah mi goreng panas ke wajahnya. Al Faizan yang berulang kali merayu supaya tidak dipukul, memohon maaf dan menjelaskan bahawa kejadian tersebut adalah kemalangan yang tidak disengajakan.
“Sepatutnya mereka bantu angkat motosikal saya, bukannya memukul saya. Saya rayu agar mereka mencari siapa yang menendang motosikal saya,” jelasnya penuh hiba.
Lebih perit lagi, ketika dia cuba menahan sakit dan meminta agar dihentikan, mi goreng panas dicurahkan ke wajahnya, menambah derita yang sedia ada. “Saya cuba menahan muka saya dengan tangan kerana pedih terkena mi goreng. Namun, seorang individu terus mencurah mi goreng ke atas saya,” katanya dengan kesedihan.
Al Faizan juga menyatakan bahawa dia tidak berhenti merayu untuk dihentikan, malah berjanji untuk membayar ganti rugi atas kerosakan yang berlaku, namun semuanya sia-sia. “Perbuatan mereka sangat kejam. Saya hanya mahu perkara ini diselesaikan dengan baik,” tambahnya.
Akibat tindakan tersebut, Al Faizan kini masih merasai kesan kecederaan pada bahagian rusuknya walaupun sudah keluar dari hospital. Kejadian tersebut memberi kesan yang sangat mendalam kepada dirinya, isteri dan anak-anaknya, sehingga menimbulkan trauma yang sukar dilupakan.
Kisah penderitaan lelaki OKU ini turut mendapat perhatian ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial. Laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.