Perutusan Hari Malaysia jadi kempen pilihan raya
PIHAK media dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi perutusan sempena Hari Malaysia dan akan ada pengumuman besar dibuat.
Selain para editor bersiap sedia kerana acara Hari Malaysia yang berlangsung di Sibu Sarawak agak larut malam bagi batas waktu penerbitan, terdapat juga rakan media yang menghebahkannya di media sosial.
Akhirnya apabila tiba masa ucapan Perdana Menteri beliau hanya bercakap tentang Jendela iaitu inisiatif untuk meningkat capaian internet di seluruh negara, tuntutan Filipina terhadap Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Cuma kali ini ditambah sikit sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi membincangkan isu berkenaan.
Muhyiddin bagaimanapun memberi gambaran bahawa isu berkenaan hanya akan dapat diselesaikan iaitu berkaitan tentang hak-hak Sabah dan Sarawak melalui perjanjian berkenaan jika rakyat Sabah memilih kerajaan yang sealiran dengan kerajaan pusat.
Perutusan yang dikatakan terdapat pengumuman besar itu rupanya hanya kempen pilihan raya bagi negeri Sabah yang sedang berlangsung pada masa ini.
Nampaknya Muhyiddin yang kini popularitinya mencanak naik, tidak dapat keluar daripada kepompong politik yang retorik dan klise serta gagal mempamerkan sikap yang ikhlas walaupun ketika sambutan Hari Malaysia.
Pemimpin harus berjiwa besar dan ikhlas dalam kebanyakan masa terutama melibatkan isu hak-hak rakyat di negara ini.
Hak rakyat tidak seharusnya diletakkan syarat tertentu sebelum ia dilaksanakan. Mengapa perlu memberi gambaran yang tidak jelas dan tidak ikhlas itu?
Apakah dengan bersikap sedemikian seseorang pemimpin akan menjadi lebih popular atau sengaja diletakkan di dalam situasi mengelirukan supaya kelak mudah untuk menangkis apabila diserang kerana tidak melaksanakan apa yang dijanji.
Tidak perlulah meletakkan syarat itu dan ini. Berilah hak rakyat Sabah dan Sarawak. Mereka telah lama ketinggalan walaupun hasil bumi mereka kaya dan digunakan membangunkan Malaysia selama ini.
Jika hak-hak itu tidak berikan dan pembangunan di kedua-dua buah negeri tersebut tidak dilaksanakan secara saksama, negara juga yang akan rugi.
Apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan, Borneo akan menjadi pusat pertumbuhan baharu dan mempunyai potensi yang sangat besar.
Nanti kerana sikap yang terlalu retorik dan berlebihan berpolitik kita akan ketinggalan dan peluang ini akan digunakan oleh negara tetangga seperti Brunei dan kemungkinan besar Singapura, bahkan China sendiri sedang mengintip peluang.
Kita pula peluang yang terhidang di hadapan mata, tetapi masih bercakaran untuk mendapatkan kuasa dan habis tenaga, masa dan wang dilaburkan untuk kekuasaan semata-mata.
Selepas menjadi penguasa kita masih lagi terpinga-pinga dan terkinja-kinja tidak tahu bila hendak bekerja.
Lihat Singapura, mereka sudah selesai dengan pilihan raya dan kini boleh menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan membendung wabak Covid-19. Kita masih bercampur aduk, caca merba.
Nampaknya Muhyiddin ia perdana menteri yang paling gemar membuat perutusan berbanding yang lain.
Jadi mungkin Muhyiddin layak digelar ‘Bapa Perutusan’.