Alam SekitarNasional

Perubahan dasar dan pembangunan tenaga lestari negara mampu tangani perubahan iklim

KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli diminta menerajui perubahan dasar pembangunan tenaga lestari dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada agar selaras dengan keperluan dan permintaan semasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan penjanaan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) serta amalan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah merupakan dua aspek penting dalam menangani isu perubahan iklim dunia.

“Malaysia juga boleh menyumbang dalam menangani isu perubahan iklim di peringkat global jika amalan dan inisiatif terbaik yang sedia dipraktikkan dan terbukti berjaya, boleh diaplikasi dan disesuaikan untuk dilaksanakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa Kelima (ISES) 2022 anjuran bersama KeTSA dan SEDA Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, persidangan tersebut dengan tema “Memperkasakan Peralihan Tenaga” tepat pada masanya ketika masyarakat global sedang rancak membincangkan langkah-langkah pengurangan jejak karbon dengan melakukan peralihan tenaga.

Persidangan ISES itu juga akan membuka peluang kepada para penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari untuk berbincang dan memahami strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.

Menurut Perdana Menteri, sebagai langkah awal dalam merancakkan lagi komitmen negara dalam peralihan tenaga ini, Kerajaan bersetuju melaksanakan program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara.

Ismail Sabri berkata, langkah yang perlu diambil ialah meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB sebanyak 1,200 MW bagi sumber solar.

“Dan kuota baharu ini akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan,” katanya.

Perdana Menteri Ismail Sabri juga berkata, penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau juga salah satu langkah yang perlu diambil.

“Penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA) mulai suku tahun keempat 2022 dengan tawaran kuota 600MW.

“Dengan persetujuan ini, Kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara,” ujar beliau.

Ismail Sabri juga berkata, langkah kedua ialah dengan melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu.

Ini, kata Perdana Menteri lagi ialah bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

Tambah beliau, pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca.

“Ketiga, membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi.

“Ini akan meyakinkan syarikat korporat untuk melakukan offset terhadap jejak karbon dari sumber penjanaan bahan api fosil melalui instrumen REC,” jelas Perdana Meteri.

Ismail Sabri juga berkata, perlu ditetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

“Sehubungan itu, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn Bhd akan menyediakan 1,000 unit EV teksi sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara.

Kata Ismail Sabri, penglibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara.

“Malaysia diberkati dengan pelbagai sumber TBB yang boleh diterokai dan saya yakin sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, kita mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau,” ujar beliau.

Oleh itu, Kerajaan menyambut baik laporan awal kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) tentang senario peralihan tenaga yang boleh kita laksanakan, katanya.

“Saya berharap laporan akhir METO yang akan dimuktamadkan nanti bakal menjadi panduan penetapan hala tuju peralihan tenaga negara sehingga tahun 2050 dan menyumbang secara lebih signifikan terhadap aspirasi negara neutral karbon 2050,” katanya.

Tambah Ismail Sabri pada masa ini, trend semasa dunia dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon.

Ini khususnya melibatkan pembangunan dan pelaburan tenaga elektrik daripada sumber lestari terutamanya di sektor pengangkutan, pemanasan dan penyejukan serta proses industri.

“Saya melihat impak perkembangan cukup positif buat Malaysia kerana peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri TBB tempatan,” katanya.

Mengambil kira Malaysia memiliki rantaian nilai industri TBB yang kukuh daripada peringkat pembuatan, Ismail Sabri berkata, sehingga ke peringkat pembekalan perkhidmatan, kita perlu memanfaatkan kelebihan perbandingan yang dimiliki untuk menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ini.

“Hasrat ini perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik yang lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa.

“Ini termasuk penyediaan mekanisme dan sistem pembekalan yang anjal dan responsif, melalui teknologi moden dan pintar bagi mengendalikan kemasukan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan menguruskan permintaan tenaga secara efisien,” katanya. – SM

(Visited 314 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button