Perjuangan politik UMNO kurun ke-21 bukan lagi tentang wang atau kuasa – PAU2022
PERJUANGAN politik UMNO kurun ke-21 adalah tentang percaturan dasar terbaik, program paling memanfaatkan, kepimpinan paling kompeten, dan institusi paling moden dan termaju.
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, gerakan UMNO pasca PRU 15, akan berorientasikan data, kajian, ilmu baru dan pendekatan termaju.
“UMNO yang tewas ini akan menjadikan idea sebagai modal politiknya, bukan lagi wang dan kuasa. UMMO akan menggunakan kecerdikan, pemikiran unggul, idea terbaik, dan fikrah yang progresif, sebagai modal politiknya.
“Ia mesti dibangunkan semula, dengan pemikiran terbaik. Pendekatan paling kreatif. Idea paling luar biasa dan mempesonakan,” katanya ketika berucap dalam Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Wanita, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.
Turut hadir, Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kata Mohamad Hasan lagi, UMNO akan menjadi a learning political party yang akan menyerap keunggulan intelektual dan kecerdasan dari semua pendukungnya baik ahli parti mahupun dari orang Melayu dan bukan Melayu yang bersedia untuk menyumbang kepada tanah air.
“Paling penting, menjadikan idea sebagai modal politik, UMNO harus membenarkan berlakunya perubahan generasi atau generational change yang sangat diperlukan oleh parti ini.
“Kita tidak akan menjadikan senioriti, atau usia, sebagai aset mana-mana pemimpin UMNO.
“Kita akan membenarkan parti ini, untuk benar-benar digerakkan secara bermakna, oleh generasi semasa. Generasi yang lebih mengerti, akan tuntutan dan keperluan terkini,” katanya.