Politik

UMNO mesti menggalas usaha ‘the Malay Renaissance’ – Mohamad Hasan

UMNO mesti menggalas usaha ‘the Malay Renaissance’ menerusi langkah konkrit dan berkemajuan agar bangsa Melayu dalam dekad pencerahan ini menjadi lebih kompeten, berdaya saing dan maju.

Bagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, antara kaedah yang perlu dilakukan adalah dengan cara menyemak semula agenda Melayu tersebut.

“UMNO akan ada tawaran baru atau a new deal kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Parti ini akan merangka agenda paling progresif untuk bangsa Melayu demi memajukan mereka.

“Inilah iltizam kita yang sewajarnya untuk tanah air melalui UMNO,” kata Mohamad Hasan dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Wanita, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Turut hadir, Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamad Hasan berkata demikian dalam perhimpunan itu kerana melihat kepentingan UMNO sebagai suara sebenar kepada orang Melayu dan seluruh warga tanah air ini.

“Tugas kita selepas ini adalah meyakinkan semua pendukung UMNO dan orang Melayu agar mereka berkongsi iltizam ini. Yang kurang, ditambah baik. Yang tertinggal, dilengkapkan. Yang kabur, dijelaskan.

“Tetapi yang paling penting, tiada sebab pendukung UMNO dan orang Melayu, harus menolak keazaman baru ini. Seruan ke arah kebaikan, adalah seruan yang mesti kita bangunkan bersama,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad Hasan memberi peringatan tegas bahawa UMNO perlu memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tanpa meminggirkan bangsa lain dalam apa-apa jua cara.

“Sudah tiba masanya, agenda Melayu UMNO disemak. Ia mesti direkayasa, diberikan lonjakan baru, dan ditambah nilai.

“Kepada semua di luar sana. Dengarkanlah, nantikanlah, dan saksikanlah. Dengan iltizam awal ini, akan bermulalah episod pengislahan sebenar UMNO, inysa-Allah,” katanya,

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button