Perintah Kawalan Pergerakan dilanjut sehingga 14 April
Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020 berikutan trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID 19 yang baharu masih berlaku.
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin, trend tersebut dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun.
Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.
“Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia. Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana.
“Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu. Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi.
“Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya,” kata Muhyiddin dalam Perutusan Khas sebentar tadi.
Jelas Munyiddin, kerajaan tidak mempunyai pilihan kerana mahu memastikan jangkitan Covid-19 betul-betul dapat dibasmi dan meminta rakyat agar tidak panik.
Menurutnya, tempoh kuatkuasa perintah tersebut akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi beliau akan buat pengumuman mengenainya.
“Yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.
Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh Perintah Kawalan keperluan asas mestilah sentisa tersedia dan mencukupi.
“Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan,
kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam. -SM