BeritaNasional

Perginya seorang lagi wartawan berintegriti

“Tak kaya jugak AR ni…,” kata Tajuddin Saman ketika saya bersalam dengannya di hadapan rumah guru kewartawanan saya, Allahyarham AR Kamaludin di Taman TAR, Ampang Jaya, tengah hari 29 April 2000.

Tajuddin ketika itu baru sampai untuk menziarah jenazah AR yang baru menghembus nafas terakhir pagi itu.

Kata-katanya mempunyai pengertian yang sangat mendalam berkait soal integriti dalam kerjaya kewartawanan.

Profesion wartawan yang dalam pandangan umum mempunyai hubungan baik dengan pemimpin kerajaan, terdedah dengan berbagai-bagai peluang untuk ‘buat’ duit.

Apa lagi AR sendiri yang bukan sahaja berada dalam kelompok wartawan tokoh malah pernah punya kedudukan dalam politik. Beliau Exco Pemuda Umno ketika era Datuk Suhaimi Kamaruddin menjadi Ketua Pemuda.

AR juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Datuk Harris Salleh, Ketua Menteri Sabah pada era Parti Berjaya 1980an hingga awal 1994.

Tetapi atas sebab prinsip, AR menolak banyak peluang untuk ‘kaya’ dan kekal sebagaimana dirinya hingga akhir hayat. Banyak cerita mengenai peluang-peluang yang ditolaknya pernah dikongsi dengan saya.

Sebagai wartawan yang juga berpegang prinsip, hal “tak kaya jugak AR ni…” menjadi kebanggaan dan mendapat penghormatan Tajuddin.

Hari ini, Tajuddin sendiri menyusuli perjalanan pulang AR setelah terlantar sakit dalam tempoh yang lama.

Sebagaimana pengakhiran sahabatnya itu, riwayat hidup Tajuddin sendiri temui noktah dalam keadaan yang sangat sederhana walaupun beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada tiga pemimpin kerajaan – Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Allahyarham) Tan Sri Hamid Zainal Abidin dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Azmi Khalid.

Saya tidak rapat dengan Tajuddin tetapi pernah banyak kali juga bertemu dan berborak dengannya, terutama ketika beliau berkhidmat dengan menteri-menteri berkenaan.

Saya mula mengkaguminya sejak kami belum bertemu lagi. Kekaguman saya itu dipengaruhi daripada pembacaan saya mengenai kisah hidupnya yang beliau titipkan menerusi buku Dari Kodiang ke Jalan Riong.

Dalam buku itu, Tajuddin menceritakan pengalaman awalnya meminati bidang penulisan, kemudian menyertai pasukan polis, apa yang beliau sifatkan sebagai kerjaya yang salah telah dipilihnya hingga akhirnya membuat keputusan untuk berhenti.

Tajuddin kemudian menyertai kursus asas kewartawanan di Kuala Lumpur yang akhirnya didapati ada unsur penipuan.

Yang paling saya ingat adalah cerita betapa gembiranya dia mendapati artikel tulisannya pertama kali disiarkan dalam akhbar berserta ‘by line’ namanya. Keterujaan itu mendorong dia pusing serata kampung di Kodiang memberitahu rakan-rakannya “weh, hangpa tengok wey, oleh aku ni, wey. Oleh aku ni” – apa yang saya sendiri lakukan sekitar 10 tahun kemudian.

Dari Kodiang ke Jalan Riong kini tinggal menjadi buah tangan kenangan seorang wartawan sejati yang saya pandang dengan penuh kekaguman.

Saya pernah mahu jadikan hidup Tajuddin Saman sebagai inspirasi untuk sebuah buku saya sendiri Dari Mahang ke …. namun hingga kini saya masih menanti untuk isi kekosongan itu kerana ternyata saya tidak pernah terima sebarang anugerah tinggi sepanjang jadi wartawan, apa lagi Kajai.

Apa pun, memadailah untuk saya memberi sumbangan dalam kemampuan sendiri mendidik anak bangsa menjadi wartawan yang berprinsip seperti AR Kamaludin dan Tajuddin sendiri di bumi terpencil Sintok ini.

Al Fatihah untuk mereka berdua, juga wartawan sejati lainnya.

Muhamad Mat Yakim
Felo Universiti Utara Malaysia (UUM)
Sintok, Kedah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button