Ekonomi

Perbadanan Nasional Berhad perkukuh kedudukan sebagai peneraju industri francais dengan jenama baharu

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad, yang melibatkan pertukaran akronim dan logo dari PNS kepada Pernas, dapat memperkukuhkan lagi kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.

Ia merupakan salah satu strategi untuk memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan Pernas dalam industri francais seterusnya turut menangani isu kekeliruan jenama yang terdahulu dengan organisasi – organisasi kerajaan yang lain.

Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, “Industri francais merupakan salah satu sektor utama selain dari koperasi dan usahawan PKS yang memberi impak penting dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)”.  Menurutnya lagi, “Selain perniagaan francais, Pernas juga membangunkan usahawan PKS ke arah francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan dapat menceburi bidang perniagaan francais”.

“Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan perniagaan francais ini mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan.  Saya amat yakin , ia dapat  mencapai  sasaran  MEDAC melahirkan 100 orang jutawan setahun dalam kalangan PKS”.

Industri francais berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3% iaitu RM13.3 bilion berbanding RM11 bilion pada tahun 2019.


Sehingga kini, sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar di mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 buah negara.

Datuk Haji Zakaria bin Haji Mohd Edris

Manakala, YB Datuk Haji Zakaria bin Haji Mohd Edris, Pengerusi Pernas menyatakan sejak tahun 2004 sehingga kini, Pernas telah mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih dari 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.

“Selaras dengan penjenamaan semula ini, Pernas akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan termasuklah melancarkan dua (2) projek terbaharunya iaitu Projek Xcelerator dan Projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’ pada awal tahun dengan sasaran melahirkan lima (5) usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” tambahnya lagi.

Pernas dan agensi-agensi di bawah MEDAC akan bergerak seiring mendokong hasrat MEDAC menjadikan keusahawanan dan koperasi sebagai agenda utama ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan inklusif.

Penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad memperkenalkan logo dan warna baharu yang lebih moden dan segar yang melambangkan sokongan yang diberikan Pernas melalui usaha memperkasakan usahawan. – SM

(Visited 131 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button