Nasional

Perancis komited tingkatkan kerjasama pembangunan ASEAN

PERANCIS komited dalam meningkatkan lagi kerjasama pembangunan dengan ASEAN serta situasi yang membimbangkan di Myanmar.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, dalam pertemuannya dengan rakan sejawatan, Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis di Paris Catherine Colonna, mereka telah membincangkan usaha-usaha bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kami juga menzahirkan sokongan terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan inklusif demi kemakmuran perdagangan dan perniagaan.

“Saya juga menyambut baik kenyataan lisan dan bertulis yang dizahirkan Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar Perancis berhubung pendirian rasmi Kerajaan Perancis yang menyokong penuh kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia berdasarkan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Zambry berkata, ini seterusnya dapat menyangkal percubaan mana-mana pihak yang cuba mencabar dan menafikan kedaulatan Malaysia.

Beliau juga berkata, dalam mesyuarat dua hala itu, kedua-dua pihak turut menilai kemajuan kerjasama sedia ada dan meneroka potensi kolaborasi baharu yang lebih komprehensif.

“Kami juga bersetuju agar interaksi dan kerjasama dua hala di dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, pertahanan, perdagangan, pelaburan, kesihatan dan pelbagai lagi perlu terus dipertingkatkan.

“Secara kesimpulannya, lawatan kerja saya ke Paris ini telah berjaya untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala yang telah erat terjalin antara Malaysia dan Perancis serta pada masa sama memastikan kepentingan dan kedaulatan negara terus terpelihara, “ katanya. – SM

BACA Asean Madani menguntungkan negara serantau

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button