HiburanMahkamah

Penyanyi Yasin Sulaiman fail representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara

Jabatan Peguam Negara tolak representasi ketiga kaji tuduhan dadah

PENYANYI yang pernah mencipta nama bersama kumpulan nasyid kontemporari, Brother sebelum tampil sebagai penyanyi solo dan juga komposer Muhammad Yasin Sulaiman akan memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapinya.

Peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Nasimah Nik Mohammad, pihaknya akan memfailkan representasi baharu itu susulan representasi ketiga mereka ditolak pada 13 Mac lalu.

“Pada 1 Mac lepas, kami ada memfailkan representasi ketiga dan representasi berkenaan ditolak oleh AGC.

“Pihak kami telah mendapat arahan daripada anak guam (Yasin) untuk memasukkan representasi keempat.

“Kami telah memaklumkan kepada pendakwaan mengenai perkara ini semalam dan pendakwaan tidak membantah permohonan ini.

“Pasukan pembelaan tiada niat untuk melengah-lengahkan prosiding mahkamah dengan memfailkan representasi sebaliknya yakin pertuduhan terhadap Yasin dapat diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

“Kami juga mohon supaya perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan sementara representasi keempat dipertimbangkan,” kata peguam itu panjang lebar.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah mengesahkan pihak pendakwaan tidak membantah terhadap permohonan representasi keempat itu.

Mahkamah menetapkan 31 Mei serta 1 dan 2 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan.

Pelantun lagu berjudul Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis “11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid” di pejabat narkotik IPD Petaling Jaya, pada pukul 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7g dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, Selangor pada pukul 5.30 petang, tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum bawah Seksyen 6B (3) yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yasin ketika ditemui pemberita berkata, beliau menghidap penyakit tiroid ketika berada di penjara sejak November lalu namun bersyukur kerana pihak penjara menyediakan ubat bagi merawat penyakitnya.

“Saya tidak mahu orang membuat andaian pihak penjara tidak memberi saya makan. Makanan melimpah-ruah di penjara,” katanya dan menambah, berat badannya turun daripada 66 ke 48kg. – FMT – SM

BACA https://suaramerdeka.com.my/yasin-hidap-bipolar-tahap-kronik/
B
ACA https://suaramerdeka.com.my/jika-yasin-sulaiman-kaya-anak-vip-pasti-takkan-dikenakan-hukum-gantung/
B
ACA https://suaramerdeka.com.my/penyanyi-nasyid-yasin-gagal-batalkan-tuduhan-dadah/
BACA https://suaramerdeka.com.my/yasin-brothers-yang-ku-kenali/

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button