fbpx
Ekonomi

PENJANA beri modal pusingan peladang, petani dan nelayan

INDUSTRI pertanian dan makanan antara sektor yang terkesan akibat wabak Covid-19 dan memerlukan sokongan serta bantuan modal demi memastikan kelangsungan dan jaminan rantaian makanan.

Langkah kerajaan Pakatan Nasional (PN) dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk industri pertanian dan makanan bertujuan menyuntik pembiayaan, selain dapat dijadikan modal pusingan untuk peladang, petani dan nelayan memulakan semula aktiviti masing-masing.

Terdapat tiga bantuan khusus yang diperuntukkan dalam sektor tersebut iaitu peruntukan berjumlah RM350 juta menerusi Skim Pembiayaan Mikrokredit di bawah Agrobank; insentif memudahcara mobiliti kerja pertanian kepada syarikat perintis dan sumbangan in-kind bagi menyokong pertanian bandar.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Dr. Anis Mahmud @ Abdul Samad berkata, pelan itu adalah bantuan tambahan kepada peladang dan petani yang menerima pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.


“Apa yang berlaku dalam perbincangan, kementerian (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) menjangkakan para peladang yang nak mula balik bertani akan ada masalah, terputus modal.

“Jadi pakej PENJANA ini diadakan supaya dapat memastikan mereka meneruskan perusahaan masing-masing. Bukan sahaja petani dan peladang, maknanya semua pun boleh seperti mereka yang buat makanan kerana semuanya terputus (modal) sebelum ini,” katanya kepada BERNAMA.

Berhubung insentif mobiliti kerja, Anis memberitahu, program itu bertujuan memberi latihan kepada mereka yang berminat dalam bidang pertanian.

“Mereka mesti ada mentor atau kaedah supaya peladang sedia ada boleh ambil mereka untuk mulakan pertanian. Program ini akan pilih syarikat rintis.

“Kita beri dana kepada mereka, kita letak beberapa orang di syarikat itu supaya mereka dapat berlatih untuk bertani dalam tempoh tertentu sebelum memulakan pertanian secara persendirian,” katanya.

Mengenai sumbangan in-kind, beliau berkata, bantuan diberi dari segi peralatan dan bahan pertanian seperti benih, baja, khidmat nasihat dan latihan sehingga maksimum RM50,000 bagi komuniti dan RM500 kepada individu yang berminat untuk mula bertani.

“Individu pun boleh memohon (PENJANA) di kawasan mereka… untuk yang dah hilang pekerjaan. Ini (sumbangan in-kind) untuk pekerja yang salah tempat, bukan yang langsung adalah peladang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Azrin Shah Ismail berpandangan, PENJANA dapat membantu para nelayan yang berdepan masalah modal mahupun pembiayaan bagi membeli dan membaiki peralatan mereka.

Menurut Azrin, pemasaran hasil laut agak terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 dan menyebabkan aktiviti para nelayan, terhenti seketika.

“Sekarang apabila sudah ada PENJANA, ia dapat membantu. Sekurang-kurangnya mereka dapat modal untuk memulakan semula perniagaan.

“Dulu modal terjejas, sekarang ada peluang memohon (PENJANA). Jika layak, dapat mulakan modal pusingan, mulakan perusaahan atau menaik taraf peralatan mereka,” ujar beliau. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button