Politik

Penglibatan Belia Dalam PRN Bukti Orang Muda Bersemangat Juang!

JOHOR BAHRU, 25 Feb: Kumpulan orang muda di negeri ini, diseru terlibat dalam proses demokrasi dengan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, penglibatan golongan belia pada PRN kali ini, demi penentuan wakil rakyat dan parti politik yang akan dapat mewakili kumpulan tersebut.

“Saya menyeru semua anak muda belia, terutama anak-anak muda di Negeri Johor agar turun mengundi pada PRN Johor.

“Ayuh orang muda, jalankan tanggungjawab kita untuk menentukan pemimpin dan parti yang boleh membawa hasrat dan suara kita ke depan. Inilah usaha kita untuk menjaga kehidupan kita pada masa mendatang,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Nawfal berkata, PRN Johor akan menjadi satu sejarah baharu dalam sejarah politik negara apabila Undi 18 bakal direalisasikan.

Ujarnya, pada PRN Johor ini, pertambahan sebanyak 30 peratus pengundi baharu iaitu 749,731 orang, hasil pelaksanaan Undi 18.

“Ini menunjukkan golongan muda bakal menjadi kuasa baharu dan menentukan politik negara. Cuma, persoalan utama yang perlu dibincangkan adalah, adakah anak muda sudah bersedia untuk mengundi?

“Adakah anak muda sanggup beratur panjang di pusat pengundian bagi menentukan hala tuju politik negeri mereka? Ataupun mereka hanya menjadi ‘keyboard warrior’ yang melepaskan amarah di media sosial sahaja,” soalnya.

Justeru, Ketua Pemuda PAS Johor itu berkata, kesedaran perlu digerakkan kepada setiap anak muda yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk turun mengundi dan terlibat di dalam proses politik serta demokrasi negara.

Selain itu, beliau berkata, keterlibatan dalam proses pengundian merupakan satu usaha untuk merubah dasar dan memilih calon yang akan membawa polisi anak muda.

“Vote early, vote often”, tahun ini kita mula turun mengundi, kita akan ingat inilah sejarah yang besar dalam hidup dan kita pasti akan terus turun untuk mengundi.

“Hari ini kita mungkin berfikir, ‘apa guna aku turun mengundi, bukannya ada apa-apa kesan pada hidup aku’.
Namun, sedarlah undi kita pada hari ni akan menentukan kehidupan kita pada empat tahun mendatang,” katanya.

Calon muda bagi DUN Parit Yaani itu memberitahu kesedaran betapa pentingnya untuk mengundi akan hadir apabila merasakan diri mulai ‘struggle’ dalam membina kehidupan bekerjaya dan berkeluarga kelak.

“Oleh itu, mulakan satu langkah pada hari ini, bersuara, buat pilihan, turun mengundi.

“Inilah suara kita dan dan usaha kita untuk melindungi kehidupan kita pada masa akan datang,” katanya.

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button