Penganggur mati lemas kemalangan motosikal
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 24 April – Seorang penganggur ditemukan mati lemas dipercayai akibat kemalangan motosikal di sebuah
tali air di Jalan Keretapi Lama, Kampung Pulau, Durian Tunggal, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 23 tahun beralamat di Durian
Tunggal itu ditemukan terapung kira-kira pukul 5.15 petang oleh orang awam yang melalui jalan tersebut.
Hasil siasatan menurutnya, kali terakhir mangsa dilihat di rumah neneknya di Kampung Gangsa, pada Khamis
kira-kira pukul 10.00 malam.
“Sebelum itu kira-kira pukul 9.40 pagi Jumaat, sebuah motosikal ditemukan dengan kesan kemalangan di tepi
tali air berkenaan oleh polis dari Balai Durian Tunggal yang membuat rondaan ketika itu,” ujarnya dalam
satu kenyataan semalam.
Arshad berkata, selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat terapung, Unit
Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, pasukan penyiasat
dari Balai Polis Durian Tunggal telah bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya lagi, mayat lelaki berkenaan ditemukan kira-kira lima meter dari tempat penemuan motosikal oleh
polis peronda Durian Tunggal pada sebelah pagi.
Pemeriksaan awal katanya, Unit Forensik IPK negeri mendapati terdapat beberapa kesan luka di kepala
sebelah kanan, calar di siku kanan badan simati.
“Tiada kecederaan lain di tubuh badan mangsa manakala dompet, wang tunai dan jam tangan masih berada
bersama mayat yang ditemukan,” ujarnya.
Ujarnya lagi, motosikal yang ditemui pula terdapat kesan kemalangan seperti cermin sisi pecah, ekzos,
peletak kaki dan pemegang hadapan.
Beliau berkata, hasil bedah siasat di Hospital Alor Gajah mendapati kecederaan pada tubuh mangsa adalah
konsisten dan kematiannya akibat lemas di tali air tersebut.
“Kematian simati tiada unsur-unsur jenayah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan (APJ).
Sehubungan itu beliau meminta saksi yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil di Balai Polis Durian
Tunggal untuk membantu siasatan. – SM