Nasional

Penduduk Taman Muzzafar Syah bimbang tebing runtuh

BIMBANG dan resah! Itulah yang tergambar buat penduduk di Jalan Seri Raya 4, Taman Muzzafar Syah, Ayer Keroh dekat sini.

Keresahan penduduk berikutan runtuhan tebing bukit berhampiran rumah mereka diami selepas hujan lebat berlaku sejak pukul 7.00 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ayer Keroh Heights, Ismail Othman berkata, runtuhan tebing tersebut sudah dijangka awal oleh penduduk sejak projek pembinaan dilakukan di kawasan yang dikenali sebagai Zon Hijau.

Ismail Othman

Menurutnya, runtuhan tebing itu disedari seorang penduduk sebelum memaklumkan perkara tersebut kepadanya dan hasil tinjauan mendapati masih terdapat pergerakan pasir di tebing berkenaan.

Beliau berkata, runtuhan tebing tersebut sudah dijangkakan lebih awal berikutan projek pembinaan bangunan perniagaan yang sedang dilaksanakan berhampiran Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC).

Katanya, terdapat kesan rekahan pada tebing dan ia semakin teruk dan besar setiap hari terutama ketika hujan.

“Runtuhan tebing ini benar-benar merisaukan seluruh penduduk di Jalan Seri Raya 4 kerana ia telah berlaku sejak projek pembinaan dilaksanakan di sini.

“Apa yang kita bimbang runtuhan itu mungkin akan menjejaskan kawasan cerun dan lereng bukit serta tidak mustahil ia akan melarat berhampiran rumah yang kami diami.

“Kawasan ini cerun dilihat tidak selamat sejak beberapa tahun sebelum projek pembangunan dilaksanakan tetapi sekarang beberapa kawasan tebing mula runtuh sedikit demi sedikit,” ujarnya hari ini.

Ismail berkata, sebelum ini penduduk ada mengemukakan surat bantahan kepada kerajaan negeri pada 18 Januari lalu terhadap pembinaan yang akan dijalankan di kawasan yang asalnya adalah kawasan zon hijau.

N. Vinod

Seorang penduduk N. Vinod berkata, runtuhan tebing itu bukan sahaja berlaku di Jalan Seri Raya 4 tetapi terdapat runtuhan tebing akibat kerja-kerja pembinaan berdekatan MOZAC.

Menurutnya, dari jalan utama Ayer Keroh itu jelas ternampak hakisan yang berlaku di tebing bukit dan ia semakin serius setiap kali selepas hujan.

“Sebelum ini beberapa kejadian pokok tumbang berlaku dan tebing runtuh sedikit demi sedikit sebenarnya merisaukan kami penduduk di sini,” ujarnya.

Sehubungan itu dia meminta pihak berkaitan untuk melihat semula kejadian yang berlaku dan perlu diatasi segera bagi menggelakkan daripada kejadian yang tidak diingini berlaku. – SM Melaka

 

(Visited 621 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button