AgamaNasional

Penduduk Kampung Wang Besar kumpul duit bulanan untuk ibadah korban

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha sebenarnya lebih meriah jika turut dilakukan ibadah korban.

Lebih menarik jika ibadat yang dijalankan setahun sekali ini dilaksanakan secara gotong-royong yang melibatkan penduduk setempat.

Inilah yang dilakukan oleh penduduk di Kampung Wang Besar, Bintong, Kangar yang masuk tahun ke lima telah melakukan ibadah ini secara gotong-royong.

Apa yang unik, bagi membolehkan sesiapa yang berhasrat melakukan ibadat korban tanpa terbeban dengan kewangan maka diwujudkan sistem pembayaran secara bulanan.

Inisiatif ini yang diusahakan oleh salah seorang jawatankuasa Masjid Al Hikmah, Wang Besar iaitu bekas Pengetua sekolah, Azhar Shafie, 59.

Bagi yang mahu menjalani ibadah korban untuk satu bahagian lembu dikehendaki membayar RM85 pada setiap bulan selama 10 bulan.

Biasanya dalam tujuh orang yang berkongsi seekor lembu ini akan dilantik seorang wakil.

Wakil kumpulan ini akan mula bermesyuarat dengan jawatankuasa untuk memilih lembu yang dikehendaki sebelum hari penyembelihan.

Pada tahun ini sebanyak lima ekor lembu (35 peserta) dan empat ekor kambing (empat peserta) terlibat dalam ibadat korban di kampung ini.

Kata Sofiah Hamid, 53, program korban secara gotong-royong ini melibatkan sepenuhnya anak muda di kampung ini.

“Saya sendiri menggalakkan anak-anak supaya membuat bayaran bulanan sebagai matlamat untuk menunaikan ibadah korban,” katanya.

Katanya, anak-anaknya juga terlibat dalam gotong-royong dari penyembelihan sehingga ke pembahagian daging.

Rosni Salim, 67 juga menggalakkan anak-anaknya terlibat dalam program bayaran bulanan untuk ibadah korban.

“Sekurang-kurangnya ia menggalakkan mereka belajar memperuntukkan sebahagian pendapatan sebagai persediaan untuk ibadah korban,” katanya.

Beliau berkata dengan penglibatan anak muda dalam gotong-royong ini sebagai pelapis pada masa depan.

Katanya, ini kerana pada suatu hari nanti mereka akan mewarisi tugas ini sepenuhnya sekaligus mengeratkan silaturahim. – SM

(Visited 517 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button