Nasional

Pendaftaran pengundi 18 tahun selepas 1 September tahun depan

SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengjangkakan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September tahun hadapan setelah menilai semula pelbagai kekangan serta isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kita komited dengan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita juga ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi Kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain yang berkaitan dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghani memberitahu yang berdasarkan kepada rekod terkini SPR, jumlah
warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.


Ujarnya, daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta
orang.

“4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

“Kita menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan.

“Kita juga akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada bulan Ogos 2021, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 yang dijangka akan dikeluarkan pada bulan September depan. -SM

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button