Politik

Penarikan balik kes: SPRM perlu diletak bawah pemantauan Parlimen

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diletakkan terus di bawah pemantauan Parlimen.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut bersetuju dengan padangan bahawa Ketua Pengarah SPRM dipilih oleh Jawatankuasa Khas Parlimen yang diwakili oleh parti pemerintah dan parti pembangkang.

Menurut Asyraf Wajdi langkah itu wajar bagi mengelakkan SPRM dilihat menjadi alat pihak yang menerajui kerajaan dan alat untuk ‘membunuh’ karier musuh-musuh politik.

“Contohnya, zaman PH, dilantik Ketua Pengarah Latheefah Koya yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

“Akhirnya berlaku banyak pendakwaan yang penyiasatan tidak menyeluruh hingga tidak dapat diteruskan sehingga akhir apabila mula dibicarakan di mahkamah,” Asyraf Wajdi.


Beliau mengulas isu terbaharu membabitkan SPRM yang terpaksa menggugurkan kes bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda Datuk Noor Ehsaruddin Mohd Harun Norrassid daripada tuduhan rasuah.

Kata Asyraf Wajid, jika benar alasan pengguguran kerana terdapat elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan yang tidak berasaskan pertimbangan yang menyeluruh, maka ia boleh mendatangkan persepsi bahawa SPRM tidak bersifat profesional dan wujud kepentingan politik dalam pendakwaan.

Semalam Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang mengambil maklum bahawa penarikan balik kes Noor Ehsaruddin adalah berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan.

Abu Zahar berkata, namun begitu pihaknya berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan terhadap kes itu serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.

Menurut Abu Zahar oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya.

Beliau dan kesemua ahli jawatankuasa LPPR tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak serta tidak mahu segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu terus berulang.

Serentak itu, pihaknya turut menggesa SPRM supaya mengkaji semula tindakan menarik balik kes-kes yang sedang dalam perbicaraan.-SM

(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button