fbpx
Nasional

Penangguhan Solat jemaah, aktiviti masjid di Selangor lanjutkan

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti-aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Negeri Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata,  Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan Baginda terhadap keselamatan 6.5 juta penduduk negeri di negeri itu selepas melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan Covid-19 di seluruh Selangor.

“Namun demikian, jika sekiranya wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.

” Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zuhur dan solat-solat fardhu serta solat sunat Tarawih pada bulan Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing,” titah Sultan Sharafuddin.

Mohamad Munir berkata, Baginda menegaskan adalah sangat penting supaya semua rakyat mematuhi perintah tersebut bagi mengelakkan rakyat daripada berhimpun atau berkumpul yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.


“Sejak akhir-akhir ini juga, Baginda dukacita dengan penyebaran berita-berita palsu dan video-video palsu  berkaitan wabak ini yang semakin menular.

“Oleh itu, Baginda mengingatkan semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mereka-reka fake news yang boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat,” kata Mohamad Munir.

Sultan Sharafuddin turut menyeru rakyat supaya terus memperbanyakkan doa agar Negeri Selangor dijauhi dari wabak penyakit dan bala bencana yang boleh menyebabkan kematian.

Baginda turut mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam.

“Semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wata’ala,” titah Sultan Sharafuddin.-SM

 

 

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button