Nasional

Pemimpin peringkat masyarakat patut jadi mata, telinga bantu asnaf

TIDAK dinafikan terdapat golongan asnaf yang segan untuk meminta bantuan sedangkan mereka benar-benar memerlukannya.

Sebaliknya, mereka hanya meneruskan kegiatan yang diumpamakan ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’ untuk meneruskan kehidupan seharian.

Justeru, golongan sebegini wajar didekati oleh pemimpin peringkat komuniti untuk menyampaikan kepada pihak berwajib supaya mereka tidak ketinggalan dalam menerima bantuan.

Demikian antara cabaran yang dinyatakan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dalam mengenalpasti golongan asnaf yang benar-benar memerlukan bantuan.

“Di mana ada orang yang segan, malu hendak mengaku fakir miskin, jadi orang ini memerlukan kerjasama daripada ketua kampung, badan kebajikan, jawatankuasa surau dan masjid.

“Justeru, tak patut golongan asnaf yang segan ini tidak menerima bantuan.

“Kerana tujuan semua yang berparti, berpersatuan dan badan kebajikan sepatutnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berwajib bagi memastikan semua orang menikmat apa yang mereka patut dapat.”

Demikian kata Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dalam sidang akhbar hari ini sempena pelancaran program Sinar Kasih Ramadhan (SKR)

Katanya, itu antara kerjasama yang perlu dilakukan semua orang, walaupun tidak mampu memberi sebarang bantuan kepada asnaf tetapi diminta untuk menyampaikannya kepada pihak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan kerjasama daripada orang awam untuk memastikan sasaran 1,000 orang asnaf dicapai dalam program SKR.

Tambah Zainal Abidin, dalam program berkenaan, asnaf yang terpilih akan dipastikan dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna seperti berbuka dan bersahur.

“SKR kali ke-13 ini diadakan oleh YBK dan kali pertama bekerjasama dengan MyFundAction.

“Program ini adalah di mana YBK, menyediakan belanja dan barangan berbuka dan bersahur untuk warga asnaf yang terpilih.

“Terpilih bermakna, kita tak mampu untuk beri kepada semua asnaf di Malaysia ini kerana jumlahnya kalau kita tanya pusat zakat, cukup banyak.

“Setiap yang terpilih itu kita akan berikan wang tunai, RM300 dan dua buah kotak makanan untuk tujuan berbuka dan bersahur selama sebulan berpuasa.

“Bagi maksud tersebut, pasukan sukarelawan kita akan bergerak menyampaikan sumbangan dalam seminggu sebelum puasa. Pasukan ini akan pergi dari rumah ke rumah.

“Seperti yang disebut tadi pada kali ini kita bersama dengan MyFundAction, yang menyediakan sumbangan untuk 1,000 asnaf.

“Bermakna, setiap asnaf akan menerima dua kotak bagi keperluan makanan sebulan.

“Kepada jiran tetangga, kenalan di mana masih terdapat lagi asnaf yang patut kita bantu, jangan segan-segan, hubungilah YBK atau MyFundAction,” serunya. – SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button