NasionalNegeri

Setiap kakitangan berperanan bangunkan organisasi – Pemangku Raja Perlis

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dalam membangunkan sesebuah organisasi, kekuatan setiap kakitangan yang ada di dalamnya memainkan peranan yang sangat penting.

Baginda bertitah, di mana setiap daripada mereka perlu komited dan bekerjasama untuk menjayakan setiap tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Titah Baginda, tiga perkara penting yang perlu disedari dan dijadikan amalan untuk diaplikasikan oleh seluruh warga sesebuah organisasi.

Titah Baginda, yang pertamanya dalam mengurus organisasi, semua kakitangan adalah penting, tanpa mengira tahap jawatan mereka. Oleh itu kita harus mengakui dan menghormati peranan, kepakaran dan bidang kuasa masing-masing.

Tambah Baginda, yang kedua pula secara tabii’, semua adalah pengurus yang dikehendaki oleh Allah untuk menjadi wakil-Nya untuk mengurus dunia ini amnya, dan untuk mengurus organisasi masing-masing khususnya dan fungsi kita sebagai pengurus ini perlu ditunjangkan kepada fungsi utama kita sebagai hamba Allah.

Manakala bagi yang ketiga pula titah Baginda, bagi menjalankan fungsi kita sebagai pengurus dan hamba Allah swt dengan baik, kita harus memiliki tiga kekuatan utama iaitu Kekuatan iman dan takwa; Kekuatan ukhwah; serta Kekuatan dalam keselarasan dan kesefahaman’.

“Justeru, sama-samalah kita menjayakan amanah Allah ini dalam memacu kecemerlangan organisasi masing-masing serta dalam masa yang sama memastikan usaha yang dilakukan itu tidak sia-sia dan akan sentiasa mendapat keberkatan daripada Allah SWT InsyaAllah,” titah Baginda.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki Dan Menyantuni Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan kepada Doyah Shafie, 81, di Kampung Gial, Mata Ayer; Jarina Mohd Arshad @ Jaafar, 56 di RPA Mata Ayer 2 dan Jamil Wahab, 55 di Kampung Padang Nyu.

Masing-masing menerima RM700 daripada MAIPs melalui Baginda merangkap Yang DiPertua MAIPs. – SM

Artikel berkaitan > Jangan abai rawatan susulan di klinik, hospital – Pemangku Raja Perlis

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button