Nasional

Pembangkang beringatlah Dewan Rakyat ‘bukan dibina Dr Jekyl’

PEMBANGKANG dari DAP, PKR dan Amanah jangan bermain politik sangat di tengah-tengah kegawatan wabak COVID-19 ini.

Ya, `rumah sudah terbakar, takkan bomba baru hendak mesyuarat’.

Jangan `perguna Dewan Rakyat’ sesuka hati desak itu ini dengan red tape nya ketika pakej rangsangan ekonomi perlu disegerakan.

Dengan ketidakpastian adakah sidang dewan akan berjalan lancar – dengan huru-hara lebih dijangkakan – jika pakej rangsangan ini dibawa ke dewan untuk dimuktamadkan, maka eloklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ambil tak kisah sahaja desakan sebegitu.

Pembangkang kena beringatlah, dewan bertuah ini kalau tidak kena gaya juga akan dilupakan asal usul dan martabatnya.

This is the house that Jack built. Ini bukan rumah yang dibina oleh Dr Jekyl.

Berpeluangnya kita bertikam lidah di situ; berpeluangnya kita buat perangai dan melahirkan tindak tanduk perundangan dan politik, Dewan Rakyat tetap dalam penyaksian setiap keping atapnya, setiap benteng dindingnya dan setiap batang tiang serinya.

Tanpa kepentingan rakyat diutamakan, dewan seolah-olah tidak lagi beratap, tidak lagi berdinding dan tidak lagi bertiang seri.

BACA

Kalau ibarat kuda, ia sudah hilang pelana. Kalau ibarat raja, ia sudah kehilangan mahkota.

Pembangkang tidak perlu diperingatkan tentang niat dalam perbuatan atau niat sebelum perbuatan.

Tak payah pergi ke Aristotle, Plato atau ahli-ahli falsafah Yunani purbakala.

Bukan kita tidak tahu tamadun Yunani pun ranap dan berkecai.

Mari kita bersandar kepada kebenaran dan falsafah Melayu. Kalau dibentang seluas alam, kalau dilipat sekecil kuku.

Soalnya mahu atau tidak mahu sahaja kita menerima hakikat bahawa akibat main politik kuasa dan akibat mainan budaya politik tipu rakyat, negara sudah menjadi porak-peranda.

Beringatlah! peristiwa-peristiwa sebelum dan selepas 24 April 1987 tidak pernah mendapat tindakan setimpal ke arah perpaduan.

Selepas pertandingan tersebut, para menteri dan timbalan menteri bergelimpangan jatuh dari jawatan masing-masing akibat Perdana Menteri di bulan puasa menyingkirkan mereka yang dianggap tidak sehaluan dengannya dalam perjuangan parti pentadbiran kerajaan.

Ia sekalipun mereka menang dalam pemilihan UMNO 24 April 1988.

Di saat itulah mulanya apa yang dikenali sebagai politik cantas. Di perenggan inilah mulanya sikap marah, sikap benci membenci dan lemparan kata-kata pemecah dari kedua-dua belah pihak.

Mana-mana pemimpin atau Perdana Menteri sedia ada juga beringatlah – apabila sudah ada tanda-tanda bahawa rakyat sudah mula gelisah dengan kepimpinan seseorang itu, haruslah cari jalan keluar yang paling dekat dan bermaruah. Ini supaya pergolakan tidak berlaku

Pemimpin-pemimpin tanah air yang terdahulu menghormati dan menerima hakikat ini.

Kesinambungan tradisi pimpinan, kuasa dan siasah orang Melayu semenjak Datuk Onn Jaafar sehinggalah zaman Tun Hussein Onn tidak pernah diabaikan, berbanding dengan suasana yang wujud sekarang.

Wallahualam. – SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button