Nasional

Pekerja Malaysia di Singapura tidak boleh pulang

PEKERJA Malaysia yang bekerja di Singapura tidak boleh pulang selagi tidak mendapat kelulusan bebas daripada COVID-19 yang dikeluarkan kerajaan negara jiran itu,

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, itu adalah perjanjian awal antara kedua-dua negara berkenaan yang dipersetujui sebelum ini.

Dalam perjanjian itu, pekerja rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu perlu menjalani saringan sebelum dibenarkan pulang.

“Ada sedikit perubahan dalam perjanjian itu…kumpulan kerja membabitkan Kementerian Sumber Manusia akan berunding dari segi syarat-syarat tertentu yang baharu. Insya-Allah esok Kementerian Luar akan maklumkan.

“Setakat ini, kita memang tidak benarkan rakyat kita masuk (pulang) ke negara kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen Johor membenarkan pekerja rakyat Malaysia yang memiliki permit kerja di Singapura dibenarkan untuk kembali ke Johor.

Tetapi dengan syarat perlu menjalani ujian kapas kesat (swab test) di klinik atau hospital di republik itu bagi mengesahkan bebas daripada COVID-19.

Susulan penetapan arahan terbaharu itu, Jabatan Imigresen Johor berkata surat pengesahan bebas gejala COVID-19 oleh klinik atau hospital di Singapura seperti yang ditetapkan sebelum ini adalah tidak terpakai.

Menurut jabatan itu, warganegara atau Penduduk Tetap Malaysia yang berada di Singapura dibenarkan masuk ke Malaysia dan tertakluk kepada peraturan serta prosedur itu yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan.

Jabatan Imigresen Johor memaklumkan arahan terbaharu itu menerusi soalan lazim berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dimuat naik dalam laman Facebook jabatan itu, hari ini.

Warganegara Malaysia tidak dibenarkan untuk keluar ke Singapura sehingga tamat tempoh PKP dan hanya warganegara Singapura yang memegang taraf Penduduk Tetap Malaysia sahaja dibenarkan untuk pulang ke Singapura serta hanya dibenarkan kembali semula ke Malaysia selepas tamat tempoh PKP.

“Warganegara Malaysia bertaraf Penduduk Tetap Singapura yang telah pergi ke Singapura dalam tempoh PKP tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia sehingga tamat tempoh PKP.

“Bagaimanapun, sekiranya anda keluar sebelum tempoh PKP, anda dibenarkan untuk kembali ke Malaysia dan hanya dibenarkan pergi semula ke Singapura selepas tamat tempoh PKP,” menurut jabatan itu. – BERNAMA

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button