Nasional

Pembangkang meracau pun, Malaysia tak akan bankrap

TAN SRI Dr. Rais Yatim membidas parti-parti pembangkang yang mula kembali mengamalkan kelakuan lama menjadi tukang caci Program Rangsangan Ekonomi Perdana Menteri.

Mengandaikan parti-parti terbabit seakan-akan sudah kemaruk kerana tidak dapat menghasilkan pakej rangsangan menyeluruh semasa berkuasa dulu, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan itu turut menegaskan, tidak ada isu mengenai kerajaan Perikatan Nasional diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertama, jelas beliau, dakwaan tentang kerajaan pintu belakang tidak menjejaskan apa-apa kerana Muhyiddin mengambil sebahagian besar ahli parlimen yang menang pilihan raya dalam Kabinetnya.

Beliau juga melantik ahli Dewan Negara sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Cuma bilangannya dipertikai bukan sederhana. Muhyiddin ikut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(2)(a) dan lain-lain sandaran undang-undang.

“Malah yang lebih penting lagi, didapati program rangsangannya dibuat dalam musim rakyat ditimpa malapetaka berat iaitu coronavirus yang melanda ribuan insan dan meragut puluhan nyawa.

“Tindakan Malaysia ini pun sudah beroleh jajaran berhemah dunia. Lihat komen JP Morgan. Perdana Menteri Tan Si Muhyiddin Yassin ada pengalaman, ada strategi. Pada beliau, kerajaan sukar tak mengapa, asalkan rakyat terbela.

“Yang membangkang biarkan mereka meracau seribu bahasa dengan pekikan selembah kampung. Pokoknya, kerajaan tak menyalahi undang-undang. Masakan bah, kolek tak hanyut, inikan pula kemarau panjang,” kata beliau kepada Suara Merdeka hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Rais, Perdana Menteri mempunyai rasa kasih kepada rakyat dan negaranya, lalu menyalurkan bantuan setimpal untuk penjawat awam, B40, orang kampung, peniaga kecil, penoreh getah, nelayan, petani dan segmen masyarakat susah yang lain.

“Rakyat dapat duit makan, bantuan, imbuhan dan lain-lain kerajaan negeri pembangkang pun dapat saluran bantuan berjumlah RM120 juta.

“Jumlah RM250 bilion itu adalah keseluruhan bantuan dengan spektrum punca-punca lain. Ini rangsangan terbesar dalam sejarah. Pembangkang sedap cakap, Malaysia akan bankrap,” kata beliau.

Rais berkata, angkubah sedia ada menunjukkan jumlah RM250 bilion itu bukan dibelanjakan sekali gus, malah ia menjelang kepada tempoh jangka panjang.

“Malaysia takkan terjejas sebab sistem aliran tunainya dan kutipan hasil berjalan terus menerus. Lagipun seperti penjelasan Menteri Kewangan, duit rizab negara pegangan Bank Negara tidak terlibat langsung dan tidak terjejas.

“Ini musim negara dan rakyat susah. Apa salah kuasa rakyat itu dimaksimumkan faedahnya. Bahas di Parlimen boleh… tunggulah tanggal 19 Mei nanti. Masa itu bolehlah buat pertanyaan di Dewan Rakyat.

“Tapi sebelum itu kerajaan ada kuasa di bawah Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan untuk buat belanjawan mendesak dan tujuan-tujuan tertentu. Bacalah provisi berkenaan. Jangan hentam keromo sahaja.

“Tan Sri Muhyiddin jalan terus bina negara bangsa. COVID-19 musuh manusia. Selamatkan rakyat,” kata beliau.
– SM

(Visited 417 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button