Pemain, jurulatih lapor diri untuk sesi latihan di ABM
SERAMAI 64 pemain dan jurulatih pasukan senior melapor diri untuk sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Semua pemain yang termasuk 35 pemain simpanan sedia untuk menjalani kuarantin kendiri di bilik asrama masing-masing di ABM selama 24 jam sebelum kembali menjalani latihan setelah menjalani ujian COVID-19.
“Saya berharap dapat mengulangi apa yang kami lalui semasa Road to Tokyo (RTT), tetapi pada skala yang lebih besar serta semua dalam pasukan senior dapat kembali.
“Bagi pemain simpanan, mereka menjalani latihan dua minggu sebelumnya yang akan memberi kelebihan pendedahan awal dari segi kebiasaan dalam gerakan di gelanggang berbanding kumpulan RTT.
“Sasarannya untuk membawa mereka ke tahap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Secara fizikal, ia akan mengambil masa tetapi kita menyesuaikan program agar mereka dapat meningkatkan aspek tertentu permainan yang boleh mereka fokuskan,” kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dalam satu kenyataan.
Terdahulu, 17 pemain termasuk lapan di bawah program RTT selesai mengikuti kem latihan selama 30 hari di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di ABM pada 30 Jun.
Choong Hann berkata, melihat rekod prestasi RTT, beliau yakin sebulan adalah jangka masa yang baik untuk meningkatkan tahap prestasi pemain kepada sekurang-kurangnya 90 peratus.
“Kumpulan kedua pemain dan jurulatih akan menyertai latihan kumpulan elit tetapi kami menerapkan SOP jarak sosial yang ketat dengan jadual latihan disusun untuk mengawal jumlah atlet di gelanggang atau gim dalam satu masa.
“Walaupun SOP akan lebih longgar, tetapi dari segi pengawalan kendiri, kita akan menerapkan tahap keperluan yang sama dengan menumpukan kepada kebersihan dan kewaspadaan untuk memerangi COVID-19,” katanya dan menambah bahawa adalah penting bagi pemain untuk bertanggungjawab serta mengikuti SOP dan garis panduan yang ditetapkan. – BERNAMA