fbpx
Agama

Lebih aula ibadah korban lembu biasa berbanding wagyu

TIDAK ada salahnya untuk seseorang melakukan ibadah korban dengan lembu paling mahal di dunia, wagyu yang berasal dari Jepun.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, pada asasnya sekiranya individu itu benar-benar berkemampuan dan tidak sampai pada tahap berhutang ianya adalah harus.

Zulkifli Mohamad al-Bakri

Tambahan Islam amat menggalakkan penggunaan haiwan ternakan yang terbaik dan sihat dalam melakukan ibadah korban.

Namun menurut  Dr. Zulkifli dalam situasi semasa negara yang dilanda dengan pandemik wabak Covid-19 maka ibadah korban menggunakan wagyu perlu diteliti dengan sebaiknya.

“Jika dilihat, dengan nilai RM30,000 satu bahagian (wagyu) itu, sekiranya dihitung menggunakan jumlah nilai semasa lembu iaitu lebih kurang RM5,000 bagi seekor lembu, maka kita dapat memperolehi sekitar 6 ekor lembu.


“Daripada jumlah 6 ekor lembu ini, sudah tentu ia dapat memberikan manfaat yang lebih besar dan ramai orang miskin akan dapat merasainya,” kata Dr. Zulkifli.

Lembu wagyu adalah baka paling baik di dunia dan harganya amat mahal dengan seekor haiwan yang diternak di Jepun boleh melebihi ratusan ribu ringgit.

Dr. Zulkifli berkata, dari sudut perolehan manfaat yang lebih ramai dan besar, maka sudah tentu melakukan ibadah korban dengan lembu biasa adalah lebih utama dalam situasi seperti ini.

Menurutnya, terlalu ramai individu yang memerlukan bantuan terutamanya untuk merasai daging biasa yang kni berharga RM30 sekilo.

“Justeru, sekali lagi kami tegaskan bahawa lebih aula (utama) dari sudut Fiqh Aulawiyyatnya untuk memberi makan seramai mungkin kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.

“Dengan cara ini, jelas kita akan dapat membantu golongan masyarakat dalam bilangan yang lebih ramai. Faedah merasa daging lembu dan korban juga dapat dikongsi bersama dengan lebih meluas,” kata Dr. Zulkifli.

Sebelum ini Suara Merdeka melaporkan syarikat Asia Harvest Agro menawarkan lembu wagyu dari Jepun sebagai haiwan korban sempena Hari Raya Haji.

Tawaran itu menarik hati bukan sahaja kerana daging lembu tersebut yang berkualiti tinggi dan terbaik di dunia tetapi juga kerana harganya yang amat mahal hingga hanya golongan tertentu sahaja mampu untuk melakukan ibadah korban menggunakan lembu wagyu.

Menurut Pengarah Asia Harvest Agro Najib Jalil, pihaknya menerima lebih daripada 50 panggilan bertanyakan mengenai korban lembu wagyu tersebut yang ditawarkan dengan harga RM29,999 untuk satu bahagian korban.

Menurutnya lembu wagyu berkenaan akan dikorban dan disembelih di Jepun pada hari tasyrik iaitu pada 10, 11,12 dan 13 Zulhijah.

Peserta di Malaysia akan menerima daging wagyu yang siap diproses pada bulan Zulhijah juga untuk diberikan kepada orang ramai.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button