Sukan

Pelumba pasukan Petronas mahu cemerlang di Brno

PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli mahu terus mengukuhkan prestasi cemerlang di perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno, hujung minggu ini.

Quartararo yang mengumpul mata tertinggi kejuaraan dunia dengan 50 mata selepas dua kemenangan berturut-turut di GP Sepanyol dan GP Andalusia, kekal bersemangat untuk memburu kemenangan ketiganya.

“Sangat hebat ke perlumbaan seterusnya selepas dua kemenangan, dan kami akan terus berjuang untuk keputusan podium lagi minggu ini. Sasaran kami adalah tinggi dan saya tidak sabar untuk melakukannya,” kata pelumba kelahiran Perancis berusia 21 tahun itu dalam satu kenyataan hari ini.

Rakan sepasukannya, Morbidelli juga berharap mampu menamatkan perlumbaan dalam lima kelompok terbaik di Litar Brno, yang juga litar kegemarannya dalam kalendar perlumbaan MotoGP.

“Ia trek gaya lama yang panjang, luas, teknikal dan pantas. Melihat kepada tahap di Jerez, kami mensasarkan keputusan yang baik hujung minggu ini.

“Saya sendiri memperolehi beberapa keputusan yang baik sebelum ini. Sudah tentu, kami perlu menjadi lebih baik dan terus meningkatkan prestasi di sana,” kata pelumba Itali berusia 25 tahun yang masih memburu kemenangan pertama musim ini.

GP Republic Czech bermula pada 7 hingga 9 Ogos ini dengan sesi latihan bebas pada Jumaat, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu sebelum perlumbaan sebenar pada Ahad.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button