Nasional

Peluang syarikat semikonduktor melabur di Melaka

KERAJAAN negeri mahu lebih banyak syarikat dalam bidang semikonduktor membuat pelaburan di negeri ini mencontohi Syarikat Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. yang berpengkalan di negeri ini sejak 1973.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kerajaan negeri bersedia bekerjasama bagi menyediakan tapak perindustrian kepada mana-mana syarikat dari luar yang ingin membuka kilang mereka di negeri ini.

Menurutnya, jika lebih banyak syarikat dalam bidang semikonduktor bertapak di negeri ini secara tidak langsung ia akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

“Syarikat Infineon Technologies sudah bertapak di Melaka hampir 49 tahun dan mereka telah membuka 10,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di sini.

“Sehingga kini Infineon Technologies telah melabur sebanyak RM14 bilion sejak mula bertapak pada 1973 dalam sektor pembuatan semikonduktor dan menjadikannya sebuah syarikat terbesar melabur di Melaka.

“Dengan pembinaan bangunan baharu syarikat tersebut dengan kos bernilai RM250 juta membuktikan mereka akan terus bertapak dan yakin dengan pelaburan yang menguntungkan di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baharu 11 tingkat milik Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. di Zon Perdagangan Bebas Batu Berendam di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Naib Presiden Kanan Infineon Technologies Asia Pasifik, George Lee.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, rancangan jangka panjang syarikat itu adalah untuk meningkatkan lagi pelaburan baharu dengan terus memilih Melaka sebagai lokasi baharu.

Justeru katanya, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa kawasan bagi membantu syarikat itu mewujudkan lagi sebuah kilang semikonduktor dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D). – SM Melaka

(Visited 296 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button