Nasionalpilihan

Pelarasan tarif air: Tiada sebab berlaku kenaikan harga barangan

Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas jika ada peniaga menaikkan harga barangan selepas penguatkuasaan pelarasan tarif baharu air bermula 1 Februari ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelarasan tersebut hanya melibatkan tarif air dan bukan secara langsung memberi kesan berlakunya kenaikan harga barangan.

Menurutnya, KPDN akan memantau situasi tersebut selain pihaknya juga bersedia menerima sebarang aduan jika berlaku unsur-unsur pencatutan.

“Tidak ada sebab berlakunya kenaikan harga barangan secara langsung kerana ia sekadar melibatkan pelarasan tarif baharu air.

“Namun kita sedang meneliti untuk menerima sebarang aduan sekiranya berlaku unsur-unsur pencatutan dan saya berharap perkara ini tidak akan terjadi,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran
Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) TMM2024 bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan
berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Mengulas lanjut Armizan berkata, PJIR merupakan salah satu inisiatif KPDN bersama pihak swasta dan industri sebagai cabang baharu Agenda Payung Rahmah.

Menurutnya, melalui program itu sekumpulan pemain industri sektor peruncitan meliputi pasar raya dan hypermarket di Melaka dapat mewujudkan kerjasama strategik dengan KPDN untuk menawarkan program
jualan diskaun bulanan.

“Ini sekali gus menyediakan platform untuk sektor swasta dan industri memberikan sumbangan ihsan sebagai citra kepedulian mereka terhadap agenda kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, PJIR akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri ini pada setiap 24 haribulan bermula dari Januari sehingga Disember 2024.

Katanya, ia melibatkan 11 jenama pasar raya dan hypermarket membabitkan 58 lokasi premis peruncitan di negeri ini.

“Sebanyak 24 barangan yang ditawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus meliputi barangan keperluan dapur dan harian seperti lampin pakai buang bayi, sabun mandi, sabun pencuci pinggan, beras, telur, minyak masak botol, susu pekat dan banyak lagi,” ujarnya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button