POLIS membuka kertas siasatan berhubung video tular mendakwa anggotanya meminta “suapan” daripada pelancong, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Yahaya Othman berkata, anggota itu bersama individu berkenaan sudah dikenal pasti dan akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Video memaparkan anggota polis memakai seragam sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu dengan berlatarbelakangkan papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman, di Bulatan Dato’ Onn.
“Siasatan awal mendapati individu dalam video tular itu mendakwa diperas ugut oleh anggota polis terbabit kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Yahaya berkata, siasatan itu dibuat selepas mengesan video berdurasi satu minit 48 saat dimuat naik seorang pengguna TikTok.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber sahih dan tepat. – FMT – SM
BACA Terima suapan: Bekas Pengarah AADK Melaka mengaku tidak bersalah