Nasional

Terima suapan: Bekas Pengarah AADK Melaka mengaku tidak bersalah

MELAKA 18 Februari – Bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan bernilai RM5,900 daripada seorang kontraktor bagi tender penyelenggaraan dan pembekalan.

Tertuduh, Mohamad Yusof Kameh, 55, yang juga Timbalan Pengarah AADK Pulau Pinang membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,500 daripada seorang individu sebagai upah memilih Syarikat Rahim Maarop Enterprise bagi kerja menyelenggara lokap AADK Jasin, Melaka.

Ia bagi melakukan kerja-kerja menyelenggara lokap, memilih untuk perkhidmatan mencetak dan membekal beg kertas agensi, menyelenggara genset serta menyediakan kelengkapan makanan dan minuman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat AADK Melaka, Ayer Keroh, antara 24 Nov 2017 sehingga 19 Mac 2019.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan yang ditawarkan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat dia didakwa mengulangi kesalahan sama di tempat sama iaitu menerima suapan daripada individu sama berjumlah keseluruhan RM4,400.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Jun 2018 serta 15 dan 19 Mac 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Irwanshah Abdul Samat menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan selesai serta syarat tambahan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah sebulan sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah diberikan kepadanya.

Hakim membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan kes untuk sebutan semula kes pada 16 Mac depan untuk lantikan peguam. – SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button