Nasional

Pelaburan kedua dari China bernilai RM19.84 bilion bukti hasil usaha berterusan Kerajaan Perpaduan

KEJAYAAN Malaysia meraih komitmen pelaburan kedua dari China pada tahun ini adalah susulan daripada usaha proaktif Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencari peluang pelaburan untuk memberi manfaat kepada negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, dalam lawatan kerja sehari ke Nanning pada Ahad atas jemputan Perdana Menteri China Li Qiang untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

Dalam lawatan kerja sehari ke Nanning, China, Perdana Menteri yang disertai beberapa menteri Malaysia telah menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China.

Daripada tiga MoU tersebut, yang pertama dengan anggaran nilai RM15 bilion adalah pertukaran antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, iaitu kedua-dua syarikat akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji jana kuasa sisa kepada tenaga, terutamanya di Malaysia.

MoU kedua, bernilai kira-kira RM2.34 bilion, adalah antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group manakala MoU ketiga, dengan potensi nilai eksport sebanyak RM2.5 bilion, dimeterai antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.

“Pentadbiran semasa secara proaktif mencari peluang pelaburan yang akan memudahkan peralihan negara ke arah tenaga boleh baharu (TBB).

“Saya berpendapat ia akan membuka lebih banyak peluang untuk perniagaan Malaysia, mungkin melalui pemindahan teknologi yang akan membantu mempelbagaikan portfolio TBB kita,” kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Katanya, potensi usaha niaga dengan syarikat China dalam industri logistik dan minyak sawit akan turut membantu mengukuhkan industri sedia ada Malaysia.

Pada sidang media, Anwar berkata MoU antara Sime Darby Oils International dan GuangXi Beibu akan membantu melindungi kepentingan pekebun kecil dan pengeluar sawit.

Berkongsi pandangan yang sama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyifatkan MoU tersebut sebagai berita baik untuk industri minyak sawit.

“Ini boleh meningkatkan lagi pasaran kami di sini, terutamanya hiliran. Dengan perjanjian ini, kami berharap dapat menyaksikan eksport produk hiliran kami berdasarkan kenaikan minyak sawit di sini,” kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Terdahulu, Ahmad Parveez telah dijemput oleh kerajaan China untuk membicarakan mengenai perdagangan minyak sawit dan kemampanan pada CAEXPO.

Beliau sebelum itu telah dipelawa oleh Tsinghua University untuk mengetuai ujian perintis penyelidikan dan pembangunan ke atas kenderaan berat mengenai pelepasan karbon menggunakan biodiesel sawit yang membuahkan hasil positif.

CAEXPO 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) berlangsung dari 16-19 September.

Lawatan ini merupakan lawatan kedua ke China untuk Anwar apabila Perdana Menteri membuat lawatan sulungnya ke China pada Mac lepas, dan beliau melawat Beijing dan Hainan selepas memegang jawatan tersebut pada November lalu.

Lawatan pertama menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi berjumlah RM170 bilion daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2023, Malaysia berjaya menarik RM132.6 bilion nilai pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama melibatkan 2,651 projek yang dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Artikel berkaitan > Kerajaan luluskan pelan induk guna tanah bersepadu ECRL

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button