MahkamahNasional

Peguam Negara bantah saman Zuraida isytihar Presiden PBM

PEGUAM negara membantah permohonan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) dan memohon pengisytiharan mahkamah bahawa beliau adalah Presiden sah Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Peguam Persekutuan, M Kogilambigai memberitahu Mahkamah Tinggi, pertikaian dalam PBM adalah perkara dalaman untuk diselesaikan oleh kedua-dua pihak.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu kerana klausa penyingkiran dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966,” katanya kepada Hakim Amarjeet Singh menurut laporan FMT.

Peguam Ashmeer Ashrof yang mewakili Zuraida mendakwa pertikaian itu diselesaikan seperti dimaklumkan kepada JPPM pada 22 Oktober tahun lepas.

“Bagaimanapun, JPPM tidak mengiktirafnya sebagai Presiden parti,” katanya.

Amarjeet mengarahkan Ashmeer untuk memfailkan hujahan lanjut untuk menangani perkara itu.

Beliau kemudian menetapkan 11 Mei depan untuk penjelasan lanjut dan kemungkinan menyampaikan keputusannya.

Zuraida, 65, memfailkan permohonan itu melalui Tetuan Ashmeer Ashrof pada 24 Mac lalu, menamakan JPPM sebagai responden tunggal.

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu memohon beberapa pengisytiharan termasuk keputusan JPPM mengekalkan Ahli Parlimen Julau Larry Sng sebagai Presiden parti adalah tidak sah dan tidak munasabah.

Beliau juga memohon perintah mandamus untuk JPPM mengiktiraf dan mendaftarkannya sebagai Presiden PBM berkuat kuasa 7 Oktober tahun lalu.

Dalam afidavit sokongannya, Zuraida mendakwa semasa perhimpunan agung parti pada 1 Oktober tahun lepas, Sng membuat kenyataan bersetuju dengan peralihan kepimpinan yang akan menyaksikan beliau mengambil alih jawatan Presiden parti.

Zuraida meninggalkan Bersatu pada Mei tahun lepas untuk menyertai PBM yang baharu ditubuhkan.

Beliau menyertai Bersatu selepas dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan Langkah Sheraton pada tahun 2020. – SM

BACA PBM masih terus berunding untuk sertai BN – Zuraida Kamaruddin

BACA PBM macam main catur: Tolak Larry Sng, Zuraida naik jadi Presiden

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button