Sukan

Raja Muda Perlis ucap tahniah atas kecemerlangan pasukan Woodball

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan tahniah kepada para pemain daripada Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) yang telah beraksi dengan cemerlang dalam kejohanan-kejohanan yang disertai di dalam dan juga luar negara sepanjang tahun 2024 ini.

Baginda berharap agar para pemain akan terus berusaha lebih keras dan mencapai lebih banyak kejayaan lagi di peringat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 2025 yang akan tiba tidak lama lagi.

“Semua pihak termasuklah Majlis Sukan Negeri Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta beberapa agensi lain juga diharap dapat sama-sama melipatgandakan usaha untuk bekerjasama dengan Persatuan Woodball Negeri Perlis bagi memastikan perancangan pembangunan pemain remaja, penganjuran pertandingan peringkat kebangsaan serta antarabangsa dan beberapa usaha lain dapat dilaksanakan bagi memastikan imej dan kualiti sukan Woodball Perlis terus berada di puncak yang tinggi”, titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.

Tuanku Raja Muda merangkap Penaung DiRaja PWNPs turut mengucapkan tahniah kepada Presiden serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Woodball Negeri Perlis atas penganjuran secara berterusan kejohanan-kejohanan pada tahun ini. Baginda berharap agar pemain woodball Negeri Perlis akan terus mengekalkan momentum dan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa dan meraih kejayaan terutamanya jika terpilih mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA edisi ke-33 pada penghujung tahun hadapan di Thailand.

Demikian titah Baginda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kg Kurong Batang dekat Kangar baru-baru ini.

Kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan bagi meringankan beban kehidupan golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.

Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut menyertai kayuhan ini bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan semua jabatan dan agensi seterusnya memberikan impak ke tahap paling maksima.

Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf yang terpilih iaitu Bunga Ismail, 70 tahun dari Kampung Nesam, Salmah Bahadon 76 tahun juga dari Kampung Nesam dan Aziz Jaafar 63 tahun dari Kampung Syed Omar.

Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.

Baginda turut singgah di kafe ‘Tentang Kopi’ sebagai sokongan kepada kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button