Politik

PBM masih terus berunding untuk sertai BN – Zuraida Kamaruddin

Pemangku Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin menegaskan pihaknya masih lagi meneruskan rundingan untuk menjadi salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, dakwaan ada dalam kalangan parti komponen BN menolak hasrat PBM daripada menyertai gabungan itu tidak dimaklumkan kepadanya sehingga kini.

“Saya tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut dan tidak ada dalam rekod saya berhubung dakwaan berkenaan.

“Setakat ini permohonan PBM untuk menyertai BN masih lagi di peringkat rundingan. Perkembangan terkini nampak positif.

“Saya bekerja untuk parti dan berusaha bersungguh-sungguh agar permohonan kami untuk menyertai BN akan diterima khususnya bagi menghadapi PRU-15 nanti,” ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Selandar, di sini hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menegaskan, PBM yang ditubuhkan itu dapat diterima oleh rakyat.

Jelasnya, parti itu akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan tujuh lagi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 nanti.

Ahli Parlimen Ampang itu yakin rakyat merestui untuk calon-calon daripada PBM bertanding dan berpeluang untuk memenangi kesemua kerusi yang ditandingi.

Sebelum ini, PBM telah mengemukakan permohonannya untuk menyertai BN, tetapi sehingga kini ia belum mendapat kelulusan.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan gabungan parti itu masih memperhalusi permohonan PBM untuk menjadi salah satu komponen dalam BN. -SM

(Visited 27 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button